Sepasang ibu bapa mendakwa anaknya berusia 17 bulan didera guru taman bimbingan kanak-kanak (Taska) dengan menyumbat makanan di dalam mulut serta menarik rambut mangsa.
Memetik laporan Kosmo! Online, ibu kepada bayi itu, Heng Lee Shuan menyatakan bahawa mereka mula mengetahui tentang kejadian tersebut apabila bekas guru berkongsi gambar dan video yang menimpa anaknya pada 28 Mei lalu.
Foto: Harian Metro
Difahamkan, bekas guru berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan hanya bekerja selama seminggu di taska berkenaan memandangkan dia sendiri tidak sanggup melihat rakan sekerjanya bertindak kasar terhadap anak-anak kecil terbabit.
“Saya sebagai ibu kepada Amber, rasa sangat sakit hati dan kecewa apabila melihat video yang dikongsi oleh bekas guru taska berusia 20-an. Yuran anak saya hampir RM2,000 sebulan.
“Kami ada berbincang bersama pengetua taska namun saya rasa dia tidak jujur malah tiada permohonan maaf dibuat kepada pihak kami
“Saya juga meminta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) namun yang mereka berikan video yang dah disunting, tidak memaparkan sewaktu kejadian anak dilayan kasar,” katanya pada Isnin.
Ujarnya, selain mendakwa rambut anak-anak kecil itu telah ditarik, bekas guru tersebut telah menghantar bukti rambut gugur kepada ibu bapa Amber.
Foto: Kosmo! Online
Susulan itu, setelah melihat kesan luka pada hidung anaknya, Lee Shuan dan suami terus membuat laporan di Balai Polis Kajang pada 29 Mei lalu.
“Sejak menjaga anak sendiri, kami boleh melihat dia akan takut bila tiba waktu makan,” ujarnya.
Selain menuntut ibu bapa menghadapi kes sama untuk membuat laporan, Ketua Biro Aduan Awam DAPSY, Lee Wen Bin turut menyatakan bahawa bekas guru terbabit telah tampil membuat laporan pada Jumaat lalu memandangkan dia diugut oleh pengetua taska berkenaan.
Sumber: Kosmo! Online (Tuan Nurhidayah Tuan Ab.Ghani)