Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan bukti berhubung dakwaan mencuri duit berbilion semasa pentadbirannya, sebelum ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik ke akaun X miliknya, Mahathir telah menyangkal dakwaan tersebut kerana Anwar merupakan individu yang sepatutnya tahu keberadaan duit itu memandangkan beliau sendiri tidak pernah melihat wang berkenaan.
Foto: The Malaysian Reserve
Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau sanggup membawa pulang kesemua duit itu dan mendermakan kepada orang miskin namun, Menteri Kewangan itu perlu memaklumkan dimana wang tersebut berada terlebih dahulu.
“Mungkin ada di bank Switzerland. Saya sanggup bersama Anwar pergi ke bank di Switzerland dan minta bank tunjuk akaun saya seperti Najib ada akaun dalam Ambank.
“Jika ada akaun, saya akan keluar semua duit dan bawa balik ke Malaysia. 100% dari duit ini jika ada akan diberi kepada orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Susulan itu, beliau turut mempersoalkan sekiranya Anwar sanggup menjawab perkara itu di mahkamah jika akaun miliknya tidak wujud di bank atau dimana-mana.
Foto: Bernama
“Jika tidak sanggup berhenti dari membuat tuduhan yang tidak berasas,” ujarnya lagi.
Tegasnya, sekiranya dakwaan curi duit itu masih diteruskan, beliau akan mendapatkan keputusan mahkamah supaya Anwar membayar RM150 juta kepadanya.
Sumber: X @chedetofficial