Seorang anak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas dilanggar tanpa sengaja oleh bapa di kawasan rumah di Kampung Wakaf Kubor, Besut pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima laporan kematian kanak-kanak itu semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gong Medang, lapor Harian Metro.
Anak maut dilanggar bapa secara tak sengaja
Foto: The Star
Menurut Abdul Rozak, kanak-kanak lelaki itu disahkan telah meninggal dunia pada 10.30 pagi selepas tiba di klinik kesihatan berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bapa kepada kanak-kanak itu mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuh kereta berkenaan di halaman rumah.
Artikel lain: Kes Dicedera Pengawal Peribadi Orang Kenamaan, Pengadu Tarik Balik Laporan
“Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak itu sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah dan bergerak menuju ke arah kenderaan dipandu lelaki itu dan menyebabkan pemandu itu terlanggar anaknya.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia,” katanya.
Foto: Bernama
Sementara itu, Abdul Rozak berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan proses bedah siasat masih dijalankan untuk mengenalpasti kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak itu.
Abdul Rozak juga mengingatkan kepada ibu bapa untuk lebih berhati-hati serta peka semasa memandu di kawasan kediaman terutama yang mempunyai anak kecil serta mengawasi anak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Sumber: Harian Metro (Nurul Fatihah Sulaini)