Lelaki warga emas mengaku tidak bersalah atas dakwaan mempamerkan gambar Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) sekali gus didakwa semula di Mahkamah Majistret, hari ini.
Memetik laporan Utusan Malaysia, tertuduh, P. Ramasamy membuat pengakuan itu selepas Majistret Hakim Siti Fatimah Talib mendengarkan pertuduhan yang dibacakan semula dalam bahasa Tamil di hadapannya.
Foto: Kosmo! Online
Lelaki berusia 66 tahun itu telah melakukan kesalahan tersebut pada sebuah kenderaan jenis Mazda dengan niat untuk mencetuskan permusuhan antara pengundi berbeza supaya mereka menyokong calon Pakatan Harapan (PH) semasa kempen PRK KKB di Taman Bukit Bunga pada petang 4 Mei lalu.
Susulan itu, jika disabit kesalahan, Ramasamy akan didakwa di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Foto: Buletin TV3
Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Rajesh Nagarajan telah membuat permohonan agar mengurangkan jumlah jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan iaitu RM10,000 memandangkan anak guamnya itu merupakan seorang pesara dan tiada pendapatan tetap.
Difahamkan, pihak mahkamah kemudiannya telah membenarkan Ramasamy untuk diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sekali gus menetapkan tarikh 19 Jun bagi sebutan semula kes.
Pada 6 Mei lalu, Mahkamah Majistret KKB telah menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM3,000 kepada Ramasamy selepas dia mengaku bersalah terhadap dakwaan berkenaan.
Foto: Media Sosial
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memerintahkan kes tertuduh dikembalikan semula untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret KKB pada 23 Mei lalu setelah Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Wendy Ooi Su Ghee membenarkan semakan kehakiman Ramasamy selaku pemohon terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.
Namun begitu, dalam penghakiman tersebut, Wendy Ooi telah menolak pengakuan salah Ramasamy kerana menyifatkan ia sebagai satu pengakuan bersyarat.
Sumber: Utusan Malaysia (Norlizah Abas)