Pihak polis mengesahkan bahawa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui di sebuah rumah terbiar di Jalan Imam Jailani, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada Jumaat sah milik Bella.
Keputusan DNA ditemui
Menerusi laporan dari Kosmo! Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memaklumkan yang sampel patalogi rangka manusia yang dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 21 Januari lalu telah diperolehi hari ini dan dikenalpasti sepadan dengan Bella atau Mira Sharmila Samsusah, 32.
“Melalui laporan diterima pihak polis mengesahkan hasil analisis DNA sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella.
“Pihak polis telah menghubungi keluarga Bella untuk menuntut mayat (rangka) di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,” katanya.
Kredit foto: FB Polis Johor
Rangka ditemui sah milik Bella, pertuduhan dibuat esok
Susulan daripada itu, kertas siasatan berkenaan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dan sudah pun mendapat arahan salah seorang suspek iaitu suspek utama untuk dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ujarnya lagi, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Batu Pahat pukul 9 pagi esok.
Artikel lain: Bapa Saudara, Teman Lelaki Antara 3 Yang Ditahan Susulan Penemuan Rangka
Sebelum ini, tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan termasuklah bapa saudara dan juga teman lelaki wanita berkenaan.
Kehilangan Bella yang dilaporkan pada 14 Disember lalu menjadi perhatian memandangkan tiada sebarang petunjuk diperoleh sejak dia keluar dari rumah untuk ke kedai dobi.
Namun, pada 19 Januari lalu, satu rangka manusia telah ditemui dan disyaki Bella di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah.
Penemuan tersebut sedikit sebanyak dikatakan mampu merungkai kehilangan ibu tunggal tersebut.
Sumber: Kosmo! (Mohd Sharkawi Londing)