Luahan seorang saksi kejadian ,Norharizan Hassan, 48, memaklumkan dirinya tampil berani menutup kepala mangsa yang telah putus dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang remaja di Jalan Losong Feri pada Selasa.
Tutup kepala yang putus
Dalam kejadian kira-kira jam 3.36 petang itu, mangsa, Wah Han Keong, 18, yang merupakan penumpang hadapan sebuah van disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala dua individu lain dilaporkan cedera.
“Waktu kejadian saya dah tak fikir apa lagi, saya anggap mendiang seperti anak sendiri, sebab itu saya beranikan diri untuk tutup kepalanya yang terputus,” kata Norharizan.
Sementara itu, menerusi perkongsian yang dimuat naik di Facebook, dia memaklumkan sempat menenangkan bapa mangsa sejurus selepas kejadian berlaku.
Menurutnya, bapa remaja terbabit memaklumkan mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik dan merupakan seorang pelajar cemerlang yang dijadual melanjutkan pengajian ke universiti pada Jun 2026.
“Katanya, dia hanya mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, tetapi anak lelakinya pergi dalam keadaan begitu,” tulisnya.
Norharizan berkata, walaupun berdepan ujian berat, bapa mangsa masih mampu mengawal emosi meskipun beberapa kali dilihat menangis ketika bercerita mengenai anaknya.
Tambahnya lagi, mangsa sebelum ini bekerja sambilan bagi membantu keluarga sementara menunggu kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pemandu sebuah kereta Volkswagen merah yang didakwa terlibat dalam nahas tersebut.
Menurut Norharizan, bapa mangsa sempat mempersoalkan tindakan pemandu itu yang didakwa memandu laju sehingga menyebabkan kemalangan tragis berkenaan.
“Bapa mangsa bertanya kenapa perlu memandu laju sehingga meragut nyawa anaknya,” ujarnya.
Perkongsian tersebut turut menzahirkan kebimbangan penduduk setempat terhadap tahap keselamatan di Jalan Losong Feri yang dikatakan sering menjadi lokasi pemandu memecut laju.
Norharizan berkata, kawasan berkenaan berhampiran sekolah rendah dan had laju sepatutnya dipatuhi demi keselamatan pengguna jalan raya terutama murid sekolah.
Dia yang berniaga di tepi jalan kawasan itu mengakui sering berasa cemas melihat cara pemanduan segelintir pengguna jalan raya.
Artikel lain: Ngeri! Remaja Putus Kepala, Van Ditembusi Tiang JKR Nahas Di Losong
Dalam hantaran sama, dia turut menggesa orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika memandu serta mengambil iktibar daripada kejadian tragis tersebut.
Pada masa sama, Norharizan turut meminta orang ramai memadam video memaparkan keadaan mangsa yang tersebar di media sosial demi menjaga sensitiviti keluarga.
Sumber: Facebook Norharizan Hassan







































