Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel di Semenanjung Malaysia kembali mencatatkan kenaikan bagi tempoh 21 hingga 27 Mei ini susulan tekanan pasaran global yang masih tidak menentu.
Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan Malaysia, harga RON97 naik sebanyak 15 sen kepada RM4.85 seliter berbanding RM4.70 sebelum ini.
Faktor kemelut geopolitik
Dalam masa sama, RON95 turut meningkat 20 sen daripada RM3.87 kepada RM4.07 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik 10 sen kepada RM4.97 seliter.
Menurut kementerian itu, kenaikan berkenaan selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) serta dipengaruhi konflik geopolitik di Asia Barat yang masih berlarutan.
“Kemelut geopolitik di Asia Barat berlarutan melebihi 11 minggu tanpa tanda penyelesaian dalam masa terdekat. Dengan konflik yang berpanjangan, tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum global semakin mendesak,” jelasnya.
Harga minyak mentah tinggi
MoF menyatakan harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong iaitu hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding sebelum konflik tercetus.
Selain itu, kos logistik dan premium insurans penghantaran turut meningkat susulan risiko laluan perdagangan melalui zon konflik.
“Harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong, hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$70 setong,”
Dalam perkembangan sama, kerajaan memaklumkan harga bersubsidi bagi penerima layak di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95) masih dikekalkan pada RM1.99 seliter.
Harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal RM2.15 seliter, manakala Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter.
MoF turut menjelaskan lebih 90 peratus penggunaan RON95 di negara ini masih melibatkan penerima subsidi kerajaan.
“Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut,” ujar kementerian itu lagi.
Sebelum ini, harga runcit RON97, RON95 dan diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan minggu lalu susulan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Sumber: Facebook Kementerian Kewangan Malaysia









































