Aktor Bollywood, Aamir Khan kembali bergelar suami selepas lima tahun menduda apabila sah berkahwin dengan ahli perniagaan dan perunding gaya, Gauri Spratt dalam satu majlis sederhana yang berlangsung di kediamannya di Mumbai, India, semalam.
Memilih untuk tidak mengadakan majlis mewah, Aamir, 61, hanya menjemput ahli keluarga serta rakan terdekat bagi meraikan hari bahagianya.
Antara tetamu yang hadir ialah bekas pemain kriket India, Irfan Pathan, pengarah terkenal Ashutosh Gowariker, selain dua anak Aamir iaitu Junaid Khan dan Ira Khan, serta seorang anak Gauri.
Menerusi video yang tular di media sosial, Aamir dan Gauri dilihat duduk di atas lantai bagi menandatangani dokumen pendaftaran perkahwinan sebagai simbolik penyatuan mereka, manakala para tetamu berdiri mengelilingi pasangan itu sepanjang upacara berlangsung.
Difahamkan, pasangan tersebut sudah saling mengenali sejak 25 tahun lalu, namun hanya mula menjalinkan hubungan cinta sekitar tahun 2024.
Perkahwinan itu merupakan yang ketiga buat Aamir, manakala Gauri juga pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini.
Sebelum ini, bintang filem 3 Idiots itu pernah berkahwin dengan Reena Dutta pada 1986 sebelum bercerai selepas 16 tahun bersama.
Aamir kemudian mendirikan rumah tangga dengan pengarah filem Kiran Rao pada 2005, namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 2021.
Hasil dua perkahwinan terdahulu, Aamir dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk Azad Rao Khan yang kini berusia 14 tahun.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































