Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman

Dunia hari ini bukan lagi berdepan ancaman peperangan semata-mata. Serangan siber, perkembangan teknologi dan bencana alam juga boleh menggugat keselamatan sesebuah negara tanpa mengira sempadan.

Dalam keadaan ancaman semakin sukar dijangka, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan bahawa tiada negara boleh menganggap dirinya akan sentiasa terselamat daripada perkembangan yang berlaku di luar wilayah masing-masing.

Malah, beliau berpandangan angkatan tentera juga tidak boleh sekadar mempersiapkan diri untuk menghadapi ancaman yang sudah diketahui, sebaliknya perlu sentiasa bersedia dengan cabaran baharu.

Perkara itu menjadi antara mesej utama beliau ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Makan Malam Sambutan Mesyuarat Multilateral Panglima Tentera Darat ASEAN Ke-27 (ACAMM) dan Mesyuarat Tahunan Sarjan Mejar ASEAN Ke-14 (ASMAM) di Hotel DoubleTree by Hilton, Melaka, pada Isnin.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Menurut Mohamed Khaled, setiap negara sememangnya mempunyai tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kepentingan masing-masing, namun terdapat cabaran keselamatan yang memerlukan persefahaman serta kerjasama erat antara negara jiran.

“Tiada negara boleh menganggap dirinya tidak akan terjejas oleh perkembangan di luar sempadannya. Tiada angkatan tentera juga boleh hanya bersiap sedia menghadapi cabaran yang sudah difahami.
“Kesiapsiagaan bersama tidak boleh dibina ketika krisis berlaku. Ia mesti dibangunkan jauh lebih awal sebelum krisis datang,” katanya.

Kekuatan tentera bukan untuk mencetuskan peperangan

Di sebalik usaha memperkukuh kemampuan pertahanan, Mohamed Khaled turut membawa mesej bahawa kekuatan sesebuah angkatan tentera tidak sepatutnya dilihat sebagai lambang kuasa untuk mencetuskan peperangan.

Sebaliknya keupayaan ketenteraan, tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan anggota perlu menjadi asas untuk memastikan keamanan terus terpelihara.

Beliau menjelaskan, kestabilan serantau tidak mungkin dapat dipertahankan oleh sesebuah negara secara bersendirian tanpa kepercayaan, dialog dan sikap saling menghormati.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Angkatan tentera diwujudkan bukan untuk melancarkan peperangan atau mencetuskan konflik, tetapi untuk memastikan konflik tidak perlu berlaku dan sentiasa dapat dicegah.
“Keupayaan ketenteraan, profesionalisme dan kesiapsiagaan seharusnya dilihat bukan sebagai pertunjukan kekuatan, sebaliknya manifestasi komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan,” ujarnya.

Kerjasama ASEAN perlu lebih daripada sekadar pertemuan rasmi

Dalam pada itu, Khaled mahu hubungan antara angkatan darat ASEAN terus diperkukuh melalui latihan, pertukaran pengalaman dan kerjasama ketenteraan yang praktikal.

Menurut beliau, hubungan yang terjalin selama ini bukan sahaja membantu membina kepercayaan antara anggota tentera, malah membolehkan setiap negara memahami cara operasi dan keupayaan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kesiapsiagaan bersama tidak bermaksud semua negara ASEAN perlu mengamalkan pendekatan pertahanan yang sama atau mengetepikan kedaulatan masing-masing.

Sebaliknya, kerjasama itu perlu memastikan setiap angkatan tentera mempunyai hubungan dan mekanisme yang bersesuaian untuk bertindak apabila keadaan memerlukan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan peranan Sarjan Mejar dan pemimpin anggota kanan dalam memastikan segala perancangan di peringkat tertinggi dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jelasnya, disiplin, latihan dan profesionalisme anggota merupakan antara elemen penting dalam menentukan tahap kesiapsiagaan sesebuah pasukan tentera.

Malaysia sambut delegasi tentera ASEAN di Melaka

Penganjuran ACAMM dan ASMAM tahun ini turut menyaksikan Malaysia meraikan kehadiran delegasi angkatan darat negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste yang menyertai ACAMM sebagai anggota terbaharu blok serantau itu.

Mohamed Khaled menyambut baik penyertaan Timor-Leste yang dilihat mampu memperkukuh semangat keterangkuman dan kerjasama dalam kalangan negara anggota.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Kedua-dua persidangan anjuran Tentera Darat Malaysia (TDM) itu berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 November 2026 dengan penglibatan 10 negara serantau.

ACAMM ke-27 bertemakan Fostering Collective Preparedness Among ASEAN Land Forces for a Stable and Secure Region, manakala ASMAM ke-14 memberi tumpuan kepada kepimpinan, disiplin, daya tahan dan profesionalisme anggota dalam persekitaran keselamatan yang kompleks.

Majlis makan malam berkenaan turut diserikan dengan ucapan aluan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman serta persembahan kebudayaan oleh Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

Bagi Mohamed Khaled, meskipun cabaran keselamatan masa depan tidak dapat diramal sepenuhnya, negara anggota ASEAN masih mempunyai peluang untuk menentukan sejauh mana mereka bersedia menghadapinya.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Justeru, usaha memperkukuh kepercayaan dan kerjasama pertahanan perlu diteruskan supaya angkatan tentera serantau bukan sahaja bersedia menghadapi ancaman, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mencegah konflik dan mengekalkan keamanan Asia Tenggara.

Written By

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Nasional

Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memberi penekanan terhadap pembangunan teknologi dan inovasi tempatan sebagai langkah memperkukuh keupayaan pertahanan negara, selain mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing....

Nasional

Seramai 1,899 anak muda kini melangkah keluar dari kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan pengalaman baharu, keyakinan diri yang semakin kukuh serta...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd