Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

Khaled Mahu PLKN 3.0 Terus Diperkasa, Lahirkan Generasi Berdisiplin Dan Cintakan Negara!

Seramai 1,899 anak muda kini melangkah keluar dari kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan pengalaman baharu, keyakinan diri yang semakin kukuh serta persahabatan yang terjalin merentasi perbezaan kaum dan agama.

Selepas 45 hari menjalani pelbagai aktiviti dan latihan, mereka bukan sahaja berjaya mengharungi cabaran fizikal dan mental, malah membawa pulang nilai disiplin, kepimpinan dan semangat patriotisme sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan.

Bagi Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, perubahan positif dalam diri pelatih itulah antara matlamat penting PLKN 3.0 yang mahu terus diperkasakan bagi membentuk generasi muda yang bukan sahaja berkemampuan, tetapi turut mempunyai rasa tanggungjawab terhadap negara.

Ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 515, Kuala Lumpur, hari ini, beliau mengingatkan bahawa keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Menurutnya, generasi muda perlu memahami bahawa mempertahankan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya turut memerlukan rakyat yang mempunyai semangat cintakan tanah air dan kesediaan untuk memelihara keharmonian negara.

“Tanah air kita adalah maruah kita. Kita mesti mempertahankannya dengan apa sahaja cara sekalipun.
“Benar bahawa senjata canggih dan pasukan tentera yang kuat adalah aset yang mesti dibangunkan bagi mempertahankan kedaulatan negara.
“Namun, generasi muda seperti saudari-saudari sekalian yang mempunyai nilai kasih pada tanah air, mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi merupakan aset yang jauh lebih bernilai dan tiada tolok bandingnya,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamed Khaled turut mengingatkan para pelatih supaya terus menghargai kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi keunikan Malaysia.

Beliau percaya pengalaman hidup bersama sepanjang latihan mampu membentuk generasi yang lebih terbuka, saling menghormati dan bersedia bekerjasama demi kepentingan negara.

PLKN bukan laluan khas ke universiti, peluang TVET turut dibuka

Sementara itu, ketika ditemui pada sidang media selepas majlis, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 akan terus ditambah baik berdasarkan maklum balas pelatih bagi memastikan program berkenaan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Beliau menjelaskan, PLKN bukan diwujudkan sebagai laluan khas untuk memasuki universiti atau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaliknya berperanan melengkapkan pendidikan sedia ada melalui pembentukan sahsiah, disiplin dan keyakinan diri.

Menurutnya, program tersebut juga memberi ruang kepada golongan belia daripada pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

“Kita akan tambah baik berasaskan kepada matlamat yang lima. Kalau kita rasakan ada kekurangan, kita akan tambah baik.
“Kita juga mendapatkan input terutama daripada kalangan peserta,” ujarnya.

Mengulas mengenai hala tuju pelatih selepas tamat program, Mohamed Khaled berkata, mereka yang memenuhi kelayakan boleh meneruskan pengajian ke universiti, manakala golongan yang tidak mendapat peluang berkenaan akan dibantu meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, usaha turut dilakukan untuk mendapatkan lebih banyak tempat dalam bidang TVET supaya pelatih berpeluang meningkatkan kemahiran dan memperoleh pensijilan yang boleh dimanfaatkan pada masa depan.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Selepas sahaja latihan ini, mana yang layak ke universiti akan terus masuk ke universiti. Selain itu, yang tak ada peluang akan kita salurkan untuk menyertai TVET supaya mereka menambah kemahiran.
“Pokoknya melalui ini, dia mempunyai keyakinan diri, dia tahu apa hala tuju dia, dia nak jadi seorang yang berguna pada negara,” kata beliau.

Nurul Danieyla bawa impian arwah bapa ke kem latihan

Di sebalik kejayaan menamatkan latihan, setiap pelatih mempunyai kisah tersendiri yang menjadikan pengalaman sepanjang 45 hari itu begitu bermakna.

Bagi Nurul Danieyla Aqsya Mohamad Faudzi, 18, PLKN 3.0 menjadi langkah awal untuk mengejar impian bergelar anggota tentera, sekali gus memenuhi hasrat arwah bapanya yang mahu melihat dia menceburi bidang tersebut.

Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui pada mulanya berasa takut apabila terpilih menyertai program berkenaan selepas membuat permohonan secara sukarela bersama rakannya.

Namun, minat terhadap dunia ketenteraan mendorongnya untuk meneruskan latihan sehingga berjaya menamatkan program meskipun pernah melalui detik sukar.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Menurut Nurul Danieyla, tanggungjawab sebagai ketua memberikan tekanan kepadanya sehingga pernah terlintas untuk menyerah kalah. Bagaimanapun, sokongan jurulatih dan rakan-rakan menjadi pembakar semangat untuk dia kembali bangkit.

“Rasa nak give up itu ada sebab rasa tertekan sedikit bila menjadi seorang ketua.
“Tapi bila saya dapat sokongan daripada jurulatih dan rakan-rakan sendiri, saya terus bangkit dan bersemangat. Tidak boleh berputus asa,” katanya.

Selain mempelajari nilai kepimpinan dan disiplin, pengalaman menyertai aktiviti ketenteraan termasuk latihan menembak menjadi antara kenangan yang paling sukar dilupakan.

Lebih istimewa, pengalaman itu turut menguatkan lagi keinginannya untuk merealisasikan impian arwah bapa.

“Arwah ayah saya nak tengok anak dia jadi tentera,” ujarnya.

Nurul Danieyla kini berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sebelum memohon menjadi pegawai Tentera Darat, sekali gus berharap dapat menjadi individu pertama dalam keluarganya yang menyertai bidang ketenteraan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Kah Sim temui erti persahabatan tanpa mengira bangsa

Bagi Choong Kah Sim, 18, pengalaman PLKN 3.0 pula membuka ruang untuk dirinya mengenali rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang yang sebelum ini asing dalam kehidupan sehariannya.

Anak sulung daripada empat beradik itu mengakui minggu-minggu awal di kem agak mencabar kerana perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu serta rakan-rakan berlainan agama dan budaya.

Malah, pada peringkat awal, dia berasa kekok untuk bergaul sehingga pernah terfikir untuk berputus asa.

Namun, pelbagai aktiviti berkumpulan yang dijalankan sepanjang latihan akhirnya menjadi titik permulaan kepada persahabatan yang semakin erat.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Pernah sebab mula-mula dekat sini tak ada kawan. Lepas itu semua tak sama agama, kena makan sama-sama tapi tak bercakap pun. Rasa kekok sedikit.
“Lepas itu, bila banyak aktiviti dan semua orang sertai sekali, barulah rasa seronok,” katanya.

Sepanjang berada di kem, Kah Sim turut belajar mengubah rutin hariannya daripada gemar tidur sehingga petang kepada kehidupan yang lebih teratur, termasuk bangun awal, bersarapan dan menjaga masa.

Namun, apabila tiba hari terakhir latihan, perasaan yang pernah membuatkannya mahu berputus asa bertukar menjadi rasa sedih kerana perlu berpisah dengan rakan-rakan.

“Macam nak dekat sini lagi sebab banyak kawan dekat sini. Lepas ini tak boleh jumpa kawan dah, rasa sedih sedikit,” ceritanya.

Kah Sim percaya PLKN wajar diteruskan kerana pengalaman hidup bersama rakan pelbagai kaum mampu memupuk perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan generasi muda.

Priya tidak mahu lepaskan peluang walaupun sudah tamat universiti

Sementara itu, Priyadarsini a/p Gunalan, 24, membuktikan bahawa keinginan untuk menimba pengalaman baharu tidak terhenti selepas seseorang menamatkan pengajian.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Walaupun sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dalam bidang Psikologi, anak bongsu daripada dua beradik itu tetap memilih untuk menyertai PLKN 3.0 secara sukarela.

Menurutnya, minat terhadap bidang keselamatan dan ketenteraan sudah lama wujud, namun dia tidak berpeluang menyertai PLKN ketika di bangku sekolah kerana program berkenaan dihentikan sebelum ini.

Justeru, peluang yang hadir selepas pelaksanaan semula PLKN tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.

Sepanjang latihan, Priya mengakui banyak perubahan berlaku dalam dirinya, terutama daripada segi disiplin dan pengurusan masa.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Jika sebelum ini dia biasa bangun sekitar pukul 8 atau 9 pagi, kehidupan di kem memerlukan dia bangun seawal pukul 3 hingga 3.45 pagi bagi membuat persiapan dan menjalani latihan.

“Memang betul, sebab sebelum ini jujurnya saya bangun pukul 8, 9 macam itu. Tapi dekat sini kena bangun pukul 3, 3.45 sebab kena berbaris awal-awal.
“Saya juga ketua bilik, jadi saya bangun awal dan kejutkan kawan-kawan bilik semua,” katanya.

Selain membina disiplin diri, Priyadarsini turut menghargai peluang bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai kaum, termasuk masyarakat dari Sabah dan Sarawak yang sentiasa saling membantu sepanjang latihan.

Baginya, pengalaman itu bukan sahaja menyeronokkan, malah memberikan pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan selepas meninggalkan kem.

“Memang relevan. Saya memang akan cakap jangan hentikan, teruskan.
“Program ini ada pelbagai pengajaran dan sangat bermakna untuk dibawa dalam kehidupan di luar juga,” tambahnya lagi.

1,899 wira muda tamat latihan, penyertaan lepasi sasaran

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (MINDEF), PLKN 3.0 Siri 4/2026 mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila seramai 1,899 pelatih berjaya menamatkan latihan selama 45 hari, melepasi sasaran asal 1,860 orang dengan kadar penyertaan 102 peratus.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Jumlah itu merangkumi 1,149 pelatih lelaki dan 750 pelatih wanita yang ditempatkan di enam Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) serta dua Pusat Latihan RELA di seluruh negara.

Selain majlis di CLKN 515 yang melibatkan 236 pelatih wanita, perbarisan tamat latihan turut berlangsung secara serentak di Hutan Melintang, Perak membabitkan 269 pelatih dan Pusat Latihan RELA Negeri Sabah melibatkan 233 pelatih.

Sepanjang program, semua pelatih mengikuti silibus yang merangkumi 70 peratus modul ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan dengan penekanan terhadap nilai cinta negara, perpaduan serta kesukarelawanan.

Kesemua 1,899 pelatih turut menerima Sijil Tamat Latihan dan diiktiraf secara rasmi sebagai anggota Angkatan Khidmat Negara (AKN).

Advertisement. Scroll to continue reading.

Bagi Nurul Danieyla, Kah Sim dan Priya, 45 hari yang dilalui mungkin singkat, namun cukup untuk meninggalkan kesan besar dalam kehidupan masing-masing.

Seorang semakin yakin mengejar impian arwah bapa, seorang lagi menemui persahabatan yang merentasi perbezaan kaum, manakala seorang graduan berjaya mencabar kemampuan diri di luar kebiasaan.

Mereka kini membawa haluan masing-masing, tetapi pengalaman di PLKN 3.0 menjadi titik permulaan untuk melangkah ke hadapan sebagai anak muda yang lebih berdisiplin, berkeyakinan dan menghargai erti perpaduan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Written By

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Nasional

Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memberi penekanan terhadap pembangunan teknologi dan inovasi tempatan sebagai langkah memperkukuh keupayaan pertahanan negara, selain mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing....

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd