Landskap keselamatan global semakin dinamik, dengan ancaman yang tidak lagi terhad kepada serangan fizikal atau bersenjata. Justeru, ukuran kekuatan sesebuah negara pada masa ini tidak boleh semata-mata dinilai berdasarkan kecanggihan kelengkapan tenteranya.
Sebaliknya, ketahanan rakyat, kesedaran masyarakat serta hubungan erat antara pasukan keselamatan dan orang awam menjadi antara benteng penting dalam memastikan sesebuah negara terus teguh menghadapi sebarang kemungkinan.
Atas asas itu, pendekatan Civil-Military Cooperation atau CIMIC dilihat memainkan peranan signifikan sebagai jambatan yang menghubungkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan rakyat.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perubahan bentuk ancaman keselamatan pada masa kini menuntut negara membangunkan ketahanan rakyat, di samping memperkukuh keupayaan pertahanan melalui aset dan kelengkapan sedia ada.
Menurut beliau, rakyat sendiri perlu mempunyai kekuatan dan daya tahan untuk bersama-sama memainkan peranan dalam mempertahankan negara.
“Ancaman dan cabaran keselamatan pada negara hari ini sudah berubah, bukan lagi serangan bersenjata tetapi cabaran berbentuk lain.
“Maka dengan demikian, usaha kita selain daripada mempertahankan negara melalui aset dan kelengkapan yang ada, kita kena bangunkan ketahanan rakyat.
“Rakyat mesti mempunyai ketahanan untuk sama-sama mempertahankan negara, maknanya rakyat mempunyai kekuatan dan tidak cepat menyerah kalau ada serangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival CIMIC Melaka 2026 sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka hari ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut bersama Mohamed Khaled menyempurnakan perasmian karnival tersebut.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Ogos itu merupakan inisiatif strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka bagi memperkukuh hubungan dan sinergi antara masyarakat awam dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Penganjurannya turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat peranan dan fungsi ATM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.
Menerusi pendekatan Whole-of-Government, Whole-of-Society (WoGoS), inisiatif itu selari dengan aspirasi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan bahawa aspek keselamatan, kedaulatan dan ketahanan negara merupakan tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan CIMIC bukan bertujuan menjadikan masyarakat awam sebagai pasukan bersenjata atau menggalakkan rakyat mengangkat senjata.
Sebaliknya beliau berkata, pendekatan itu lebih kepada usaha membina kesedaran, hubungan dan semangat kebersamaan antara rakyat dengan institusi pertahanan negara.
“Kita bukan apabila nak bangunkan kerjasama dan hubungan itu supaya rakyat angkat senjata, tak.
“Tapi sekurang-kurangnya kalau rakyat tunjukkan dia sayang pada negara, dia akan sama-sama bangunkan ketahanan untuk mempertahankan negara,” ujarnya.
Bagi beliau, rasa cinta terhadap tanah air dan semangat patriotisme bukan sekadar ungkapan yang dizahirkan pada sambutan tertentu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kekuatan dalaman sesebuah negara.
Jelasnya, patriotisme mampu membentuk rakyat yang lebih memahami tanggungjawab mereka serta bersedia menghadapi cabaran demi mempertahankan kedaulatan negara.
Justeru, usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat awam dan tentera menerusi CIMIC akan terus diperluaskan ke pelbagai tempat sebagai satu pendekatan berterusan.
Dalam masa sama, MINDEF juga akan memperhebat usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hal ehwal pertahanan agar aspek keselamatan negara tidak lagi dilihat sebagai tanggungjawab eksklusif pasukan keselamatan semata-mata.
“Sebab itulah CIMIC akan dibuat di serata tempat dan kita juga akan bangunkan usaha untuk rakyat dicelikkan dengan hal-hal pertahanan.
“Jadi memang ini satu usaha yang akan dilakukan secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, semasa sidang media, Mohamed Khaled berkata, Melaka berpotensi diterokai sebagai lokasi alternatif bagi penganjuran pameran pertahanan berskala antarabangsa, mengambil kira kedudukannya yang strategik serta reputasi Malaysia sebagai negara yang mampu menghimpunkan pelbagai pihak daripada blok geopolitik berbeza.
Beliau berkata, Malaysia sudah membuktikan keupayaannya menerusi penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition, LIMA) dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia, (Defence Services Asia, DSA).
“Malaysia diterima bukan sahaja sebagai negara yang berkeupayaan menganjurkan pameran besar, tetapi Malaysia ini sebuah negara yang dipanggil sebagai convening power.
“Kita ada kuasa untuk menarik semua pihak. Kalau kita pergi pameran di tempat lain, kadang-kadang apabila dia berada dalam satu blok, dia tidak boleh membawa blok yang lain,” kata Mohamed Khaled.
Mengulas potensi Melaka sebagai tapak penganjuran pameran pertahanan, Mohamed Khaled berkata, kawasan Klebang mempunyai beberapa kelebihan termasuk kedudukannya yang tidak jauh dari Batu Berendam serta akses kepada laluan laut.
Ujarnya, lokasi di tanah besar juga memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mengunjungi pameran berbanding penganjurannya di Langkawi.
“Tengok pada Klebang ini pun tidak jauh daripada Batu Berendam dan apabila kapal-kapal laut pun boleh berada di sini, maka ia sebenarnya satu tempat yang boleh jadi alternatif kepada Langkawi.
“Bila di Langkawi itu tidak ramai rakyat boleh pergi, tapi kalau di Melaka ini seluruh rakyat boleh datang. Jadi ia satu yang boleh kita terokai,” ujarnya.
Antara tarikan utama Karnival CIMIC Melaka 2026 ialah pameran statik aset ATM, Survival Village, hospital medan, pameran kapal TLDM, pameran teknologi pertahanan dan simulator TUDM, selain demonstrasi ketenteraan seperti Gun in Action, pertunjukan anjing perang, Commando Storm, Aircraft Flypass dan Free Fall.
Turut menjadi tumpuan ialah Pavilion MINDEF yang menghimpunkan pelbagai agensi di bawah kementerian serta agensi berkaitan, termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).
Malah buat pertama kali, lima kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut berlabuh di perairan Melaka bagi memeriahkan Karnival CIMIC Melaka 2026 dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka.
Kapal berkenaan ialah Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, KD Terengganu, KD Lekir, KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Gempita, dengan pengunjung turut diberi peluang melawat serta melihat lebih dekat aset TLDM itu.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka.
Dalam erti kata lain, kekuatan sesebuah negara tidak hanya terletak pada jumlah aset ketenteraan atau kecanggihan teknologi pertahanannya.
Di sebalik segala kelengkapan itu, wujud satu kekuatan yang tidak boleh dipandang ringan rakyat yang mempunyai ketahanan, kesedaran dan rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air.
Dan di situlah CIMIC memainkan peranannya, bukan sekadar merapatkan jurang antara tentera dan rakyat, tetapi membina satu kefahaman bahawa mempertahankan negara adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.






































