Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd mengumumkan fasilitinya di Shah Alam akan menghentikan operasi sepenuhnya menjelang akhir Mac 2027 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula operasi global.
Penstrukturan semula operasi global
Memetik laporan daripada Sinar Harian, langkah itu diambil bagi memperkukuh daya saing perniagaan produk audio visual pengguna dan mengoptimumkan rangkaian pembuatan syarikat di peringkat antarabangsa.
Menurut kenyataan syarikat itu, pengeluaran televisyen di kilang berkenaan akan dihentikan menjelang September 2026, manakala pengeluaran pemain Blu-ray Disc akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co Ltd di China.
Selain itu, pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics turut akan dihentikan menjelang Februari 2027 sebelum dipindahkan ke sebuah lagi syarikat dalam kumpulan Panasonic.
Penstrukturan semula tersebut dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja sebelum operasi kilang dihentikan sepenuhnya pada penghujung Mac 2027.
Panasonic memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa berkaitan dan Kesatuan Pekerja Industri Elektrik bagi membantu pekerja yang terjejas mendapatkan peluang pekerjaan baharu serta menyertai program peralihan kerjaya.
Walaupun operasi kilang di Shah Alam bakal ditutup, Panasonic menegaskan pengeluaran produk audio di Malaysia akan diteruskan. Jualan serta perkhidmatan selepas jualan bagi produk televisyen dan audio juga akan beroperasi seperti biasa.
“Panasonic akan terus melabur di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhannya dalam rantaian bekalan bernilai tambah tinggi, selain kekal komited untuk menyumbang kepada negara dan komuniti tempatan,” katanya.
Panasonic turut menegaskan Malaysia kekal sebagai hab serantau yang penting bagi syarikat itu dengan kira-kira 12,000 pekerja merangkumi operasi pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pelbagai fungsi korporat.
Langkah penstrukturan ini disifatkan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk meningkatkan kecekapan operasi di peringkat global.








































