Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat menamatkan penantian panjang selama tiga edisi Sukan Komanwel apabila berjaya merangkul pingat emas kategori 79 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, di sini.
Lebih bermakna, kejayaan itu didedikasikan khas buat bapanya, Hidayat Hamidon yang pernah mencipta sejarah dengan memenangi emas angkat berat pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Erry, 26, mengungguli saingan di Scottish Event Campus Armadillo awal pagi tadi selepas mencatat jumlah angkatan keseluruhan 331 kilogram menerusi 147kg dalam acara snatch dan 184kg dalam clean and jerk.
Catatan clean and jerk serta jumlah angkatan keseluruhan itu turut memecahkan rekod temasya.
“Alhamdulillah, penantian tiga kali menyertai Sukan Komanwel, akhirnya saya dapat pingat emas. Pingat emas ini untuk ayah saya.
“Sebelum ini beliau hubungi saya dan meminta saya bawa pulang pingat emas sekali lagi untuknya. Saya lakukan semua ini demi ayah,” katanya.
Bagaimanapun, kejayaan itu hadir selepas Erry berdepan detik cemas dalam acara snatch apabila dua percubaan awal pada bebanan 147kg dibatalkan juri sebelum berjaya menyempurnakan angkatan ketiga.
Erry kemudian bangkit dalam acara clean and jerk untuk memastikan jumlah keseluruhan angkatan membawanya ke puncak podium.
“Kejayaan hari ini amat manis dan perjuangannya memang luar biasa. Kalau saya gagal pada angkatan ketiga, mungkin saya tidak dapat meneruskan saingan dalam clean and jerk.
“Jadi saya berjuang habis-habisan dalam clean and jerk untuk jumlah angkatan keseluruhan,” katanya lagi.
Menurut Erry, dia cuba mengembalikan keyakinan dengan mengingati semula teknik dan prestasinya ketika latihan selepas berdepan kesukaran dalam acara snatch.
“Saya hanya mengingatkan diri bagaimana saya berlatih kerana rekod terbaik snatch saya adalah 153kg, jadi saya tertanya-tanya mengapa 147kg boleh gagal.
“Dalam clean and jerk pun saya tidak sangka angkatan terakhir terasa begitu berat walaupun rekod terbaik saya adalah 187kg. Mungkin saya masih belum biasa dengan cuaca sejuk,”ujar beliau.
Pingat perak dimenangi wakil India, Valluri Ajaya Babu dengan jumlah angkatan 330kg, manakala atlet England, Chris Murray meraih gangsa selepas mencatat 325kg.
Kejayaan Erry melengkapkan kisah gemilang keluarga apabila beliau meneruskan legasi bapanya dalam sukan angkat berat di pentas Komanwel.
Sebelum ini, Erry gagal meraih pingat pada penampilan sulung di Gold Coast 2018 sebelum mencipta kejayaan meraih perak kategori 73kg pada edisi Birmingham 2022.
Pingat emas itu turut menjadi emas ketiga buat kontinjen Malaysia selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing menjuarai kategori 60kg dan 65kg lelaki.
Sumber: BERNAMA
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































