Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

Perkukuh Benteng Pertahanan Negara! MINDEF Mahu Teknologi, Inovasi Tempatan Terus Diperkasa

Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memberi penekanan terhadap pembangunan teknologi dan inovasi tempatan sebagai langkah memperkukuh keupayaan pertahanan negara, selain mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inovasi perlu menjadi antara keutamaan utama dalam sektor pertahanan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersedia menghadapi perkembangan teknologi serta ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

Menurut beliau, usaha memperkasakan inovasi bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan teknologi baharu, malah merangkumi penambahbaikan sistem kerja, pengurusan sumber dan kecekapan operasi yang mampu memberikan manfaat kepada sektor pertahanan.

“Inovasi tidak semestinya memerlukan peruntukan jutaan ringgit, perubahan dasar secara total atau pindaan undang-undang. Sebaliknya, inovasi boleh berlaku dalam banyak bentuk. Malah, inovasi boleh hadir dalam skala yang kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Inovasi Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Auditorium MINDEF, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Beliau turut menjelaskan bahawa inovasi berskala kecil mampu memberikan impak besar terhadap keupayaan pertahanan negara, khususnya dalam menghadapi perubahan landskap peperangan moden.

Sebagai contoh, perkembangan teknologi ketenteraan memperlihatkan bagaimana dron buatan tempatan yang menelan kos puluhan ribu ringgit berpotensi menewaskan pesawat pejuang generasi terbaharu bernilai ratusan juta ringgit.

“Dalam beberapa episod peperangan dan pertembungan di pentas antarabangsa dewasa ini misalnya. Kita dapat melihat bagaimana pelbagai inovasi telah menjadi game changer yang tidak disangkakan sama sekali.
“Pesawat pejuang generasi terbaharu bernilai ratusan juta boleh ditewaskan dengan dron buatan tempatan yang hanya menelan belanja puluhan ribu,” katanya.

Dalam pada itu, usaha MINDEF memperkukuh inovasi tempatan turut membuahkan hasil apabila warga kementerian dan ATM berjaya meraih pengiktirafan pada pertandingan Indonesia Inventors Day (IID) 2026.

Penyertaan berkenaan menyaksikan hasil inovasi MINDEF membawa pulang empat pingat emas, dua pingat perak serta tiga anugerah khas daripada Taiwan dan Thailand.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pencapaian itu sekali gus memperlihatkan kemampuan kepakaran tempatan dalam menghasilkan teknologi dan inovasi yang berpotensi diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Pada masa yang sama, kita pastinya berbangga melihat hasil inovasi Kementerian mendapat pengiktirafan di persada dunia.
“Misalnya, dalam pertandingan Indonesia Inventors Day 2026, idea dan inovasi Kementerian Pertahanan telah berjaya meraih empat pingat emas, dua pingat perak serta tiga anugerah khas daripada Taiwan dan Thailand,”ujar beliau.

Selain itu, sebanyak 10 inovasi daripada tiga cabang perkhidmatan ATM turut dikenal pasti untuk dipatenkan sebagai sebahagian daripada usaha melindungi hasil ciptaan dan memperkukuh pembangunan teknologi pertahanan tempatan.

Bagi memastikan setiap hasil inovasi dapat diurus dengan lebih sistematik, Mohamed Khaled turut melancarkan Sistem i-MIND, iaitu bank data inovasi yang menghimpunkan maklumat berkaitan produk, projek serta pencapaian inovasi warga MINDEF dan ATM dalam satu platform berpusat.

“Sistem i-MIND akan menghimpun, menyelaras dan mendokumentasikan segala maklumat berkaitan produk, projek serta pencapaian inovasi yang dihasilkan oleh warga MINDEF dan ATM dalam satu platform berpusat,” katanya.

Majlis sama turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan kepada 10 pemilik paten inovasi MINDEF, pemenang pertandingan antarabangsa serta penerima Pin Inovator sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan kreativiti warga pertahanan.

Usaha memperkasakan inovasi itu selaras dengan Teras 5 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan terhadap pembudayaan inovasi serta pembangunan kepakaran tempatan bagi mewujudkan sektor pertahanan yang lebih berdaya saing, mampan dan berdikari.

Bagi meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara, MINDEF turut memilih peluru berpandu antikapal Atmaca buatan Turkiye untuk melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pemilihan itu dibuat selepas kementerian menilai tawaran daripada tiga negara iaitu Turkiye, Perancis dan Itali, susulan kegagalan memperoleh peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dari Norway.

“Kita telah kenal pasti ia yang terbaik dari segi harga, dari segi masa penyerahan dan dari segi kos pendahuluan yang kita kena keluarkan,”jawabnya.

Menurut beliau, rundingan lanjut dengan pihak Turkiye akan diadakan sebelum perolehan dimuktamadkan, dengan sistem berkenaan dijangka dapat diperoleh seawal 2028.

Katanya, sebahagian peluru berpandu Atmaca yang telah ditempah untuk kapal Littoral Mission Ship (LMS) berpotensi disalurkan lebih awal kepada LCS, sekali gus membantu mengurangkan kos perolehan kerana kementerian hanya perlu menanggung perbelanjaan sistem pelancar dan integrasi.

Mengulas kegagalan perolehan NSM dari Norway, beliau berkata, MINDEF kini dalam proses menubuhkan jawatankuasa penyelesaian pertikaian antara kedua-dua pihak.

“Sekarang ini kita masuk ke peringkat kedua, iaitu penubuhan jawatankuasa penyelesaian pertikaian antara kedua-dua pihak.
“Sekiranya usaha itu gagal, barulah kita akan membawa perkara ini ke peringkat timbang tara,”jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan masih belum dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat kepada pembekal Norway berkenaan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Written By

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd