Ketibaan pesawat pejuang ringan FA-50M membuka lembaran baharu dalam usaha memodenkan keupayaan pertahanan udara negara, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara.
Detik penting itu menyaksikan pesawat FA-50M pertama milik Malaysia tiba di Pangkalan Udara Labuan selepas berlepas dari Sacheon, Korea Selatan sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Kuantan.
Namun, ketibaan pesawat itu bukan sekadar tentang sebuah aset baharu yang mendarat di bumi Malaysia. Lebih daripada itu, ia menandakan permulaan proses peralihan keupayaan pertahanan udara negara ketika pesawat Hawk yang digunakan TUDM dijadualkan ditamatkan perkhidmatannya pada 2028.
Di sebalik perolehan 18 pesawat bernilai hampir RM4 bilion itu, terdapat satu keperluan yang lebih mendesak iaitu memastikan TUDM terus mempunyai aset sesuai untuk melaksanakan latihan dan operasi pertahanan udara dalam menghadapi tuntutan keselamatan semasa.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan pesawat daripada Korea Aerospace Industries (KAI), Korea Selatan yang dimeterai pada 2023 itu penting dalam memastikan keupayaan negara terus dipertingkatkan.
“Fungsinya antara lain, selain daripada sebagai satu jet latihan juruterbang pejuang, ia juga melakukan tanggungjawab operasi peperangan di samping tugas-tugas lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.
“Dan ia sangat penting kerana seperti kita sedia maklum, kapal terbang Hawk yang sekarang ini kita sedia pakai akan di-commission pada tahun 2028,” katanya ketika sidang media sebelum menyaksikan majlis ketibaan pesawat FA-50M pertama di Pangkalan Udara Labuan, hari ini.
Dalam majlis itu, Mohamed Khaled menerima taklimat daripada Pegawai Memerintah No. 15 Skuadron, Mejar Mohd Jamil Awang TUDM, mengenai keupayaan pesawat FA-50M dan proses penghantarannya ke Malaysia sebelum meninjau pesawat tersebut serta berinteraksi dengan juruterbang yang terlibat.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pegawai awam Kementerian Pertahanan.
Bukan sekadar menggantikan Hawk
Apabila sesebuah pesawat menghampiri penghujung tempoh perkhidmatannya, persoalannya bukan sekadar aset apakah yang bakal mengambil alih tempatnya, tetapi bagaimana peralihan itu dapat dilakukan tanpa menjejaskan kesiapsiagaan operasi.
Dalam konteks TUDM, FA-50M menjadi sebahagian daripada jawapan kepada keperluan itu.
Pesawat tersebut bukan sahaja akan mengambil alih peranan tertentu yang dilaksanakan Hawk, malah menawarkan platform untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelaksanaan misi operasi mengikut keperluan.
Mohamed Khaled menyifatkan pesawat itu sebagai aset yang mempunyai keupayaan lebih baik berbanding Hawk, selain dilengkapi sistem dan peralatan yang disesuaikan dengan keperluan Malaysia.
“Ini merupakan satu detik yang sangat bermakna pada negara kerana seperti kita semua tahu, jet pejuang ini merupakan satu jet yang dari segi keupayaan dan sebagainya lebih baik daripada yang kita pernah ada, iaitu utamanya Hawk.
“Untuk kita, hanya versi kita yang terbaik yang dilengkapkan dengan segala peralatan misal dan sebagainya, sama ada air-to-air ataupun air-to-ground,” ujarnya.
Perolehan itu melibatkan 18 pesawat yang dijadualkan diterima secara berperingkat sehingga Mac 2028. Dengan jadual berkenaan, TUDM mempunyai tempoh untuk membuat persediaan bagi mengendalikan aset baharu termasuk dari segi tenaga kerja, latihan dan sokongan teknikal.
Enam pesawat menjelang 2027, persiapan sudah bermula
Penghantaran pertama hari ini sepatutnya melibatkan dua pesawat yang berlepas dari Korea Selatan pada Khamis dan transit di Filipina.
Bagaimanapun, masalah teknikal menyebabkan hanya sebuah pesawat tiba di Malaysia mengikut jadual, manakala penghantaran sebuah lagi akan ditentukan oleh pihak KAI.
“Sepatutnya ada dua kapal terbang. Dua-dua telah berlepas daripada Korea pada hari semalam dan transit di Filipina.
“Sepatutnya dua-dua sampai sekejap lagi sebagai penyerahan pertama tetapi kerana ada masalah teknikal, hanya satu sahaja akan sampai hari ini,” kata Mohamed Khaled.
Beliau berkata, Malaysia dijangka menerima enam pesawat FA-50M sebelum April 2027, manakala kesemua 18 pesawat itu dijadualkan diterima menjelang Mac 2028.
Pada masa sama, persiapan untuk mengoperasikan pesawat berkenaan telah dimulakan termasuk penyediaan anggota yang akan mengendalikan skuadron, pasukan kejuruteraan serta juruterbang.
Menurut Mohamed Khaled, seramai 209 anggota diperlukan bagi menyokong pengoperasian skuadron berkenaan, dengan 127 anggota telah tersedia setakat ini.
“Semua persiapan-persiapan untuk penyediaan pesawat ini, pengoperasian dan sebagainya telah pun dilakukan oleh pihak TUDM, sama ada dari segi anggota-anggota penjawat.
“Setakat hari ini kita dah ada 127 kerana banyak pesawat belum diserahkan, jadi dia akan lakukan secara berperingkat dari segi tim kejuruteraan, operasi, pilot dan sebagainya. Semuanya telah pun dimulakan dan telah pun bersedia,” ujar beliau.
Angka itu menggambarkan bahawa pemodenan pertahanan udara bukan hanya bergantung pada kehadiran pesawat baharu. Di belakang setiap aset, terdapat keperluan terhadap anggota terlatih dan pasukan teknikal yang memastikan pesawat dapat digunakan dengan selamat serta berkesan.
Sebelum pesawat itu diserahkan secara rasmi, proses penyesuaian dan pengujian turut perlu dilakukan. Menurut Mohamed Khaled, proses berkenaan dijangka selesai sebelum pertengahan November.
Pertahanan Sabah, keperluan yang tidak boleh dipandang ringan
Ketika Malaysia memodenkan aset udaranya, perhatian terhadap keselamatan Sabah turut menjadi sebahagian daripada perancangan pertahanan negara.
Kedudukan strategik negeri itu menjadikan kesiapsiagaan aset, radar dan anggota antara aspek yang perlu terus diperkukuh, terutama ketika landskap keselamatan serantau sentiasa berubah.
Mohamed Khaled berkata, usaha Malaysia memperkukuh pertahanan bukanlah tindak balas terhadap langkah yang diambil negara jiran, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab memastikan negara mempunyai keupayaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Dan bagi Malaysia, kita juga akan lakukan yang sama. Bukan sebagai satu reaksi kepada apa yang dilakukan di Filipina, tetapi sebagai satu usaha kerana kita tahu kalau berlakunya ketegangan yang meningkat, kita tak dapat nak pastikan ia tidak ada kesan kepada negara,” katanya.
Antara langkah yang dirancang termasuk penyediaan radar pesisir pantai baharu di Sabah, pengukuhan keupayaan pertahanan udara di lokasi strategik serta penambahan anggota keselamatan.
Kerajaan juga telah membangunkan kem baharu dan menaik taraf kem sedia ada bagi memperkukuh kehadiran serta kesiapsiagaan anggota di negeri itu.
Mohamed Khaled berkata, jumlah anggota di Sabah ketika ini adalah sekitar 10,000 orang, dengan usaha memperkukuh pertahanan dan keselamatan negeri itu akan diteruskan mengikut keperluan.
Dalam masa sama, TUDM akan menilai keperluan penempatan pesawat berdasarkan tuntutan operasi, termasuk selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatannya.
Tidak terhenti pada 18 pesawat
Perolehan 18 FA-50M juga mungkin bukan penghujung kepada usaha menambah keupayaan pesawat pejuang negara.
Tambah Mohamed Khaled, kerajaan akan menilai keperluan perolehan tambahan selepas pesawat berkenaan digunakan dan prestasinya dinilai berdasarkan keperluan operasi TUDM.
“Tapi apabila semua itu telah pun kita pakai, kita uji dan perkara-perkara yang kita rasakan perlu ada pertambahan, jika kita berpuas hati, sememangnya kita akan ada second batch, tapi kita tak tentukan dekat mana, apa jenis.
“Tapi kita memang perlukan tambahan kepada kapal terbang jet jenis ini. Itu memang kita akan lakukan perolehan. Tapi daripada mana, sama ada yang sama ataupun yang lain, terserah kepada pihak TUDM untuk buat syor,” tambahnya.
Buat masa ini, tumpuan utama adalah memastikan penghantaran pesawat mengikut jadual, selain melengkapkan persediaan anggota dan kemudahan yang diperlukan untuk pengoperasiannya.
Perolehan pesawat FA-50M itu turut selari dengan Teras 1 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara.






































