Umum sedia maklum, Kelantan merupakan sebuah negeri yang mendapat jolokan sebagai serambi Mekah di mana ia cukup sinonim dengan identiti Islamiknya.
Justeru itu, terdapat banyak masjid yang menjadi lambang ikonik tempat suci di seluruh negeri Cik Siti Wan Kembang.
Carian Google
Pun begitu, masyarakat negeri berkenaan tidaklah boleh kekal selesa tanpa mengambil peduli dengan masalah sosial semasa yang kian meruncing di kalangan anak-anak muda sekarang.
Menurut Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kelantan, dadah dan pornografi adalah punca utama kepada perlakuan sumbang mahram di negeri berkenaan.
Carian Google
Ketua Wanitanya, Profesor Madya Dr Dasmawati Mohamad berkata, perkara itu disifatkan semakin meruncing sekiranya berpandukan kepada laporan akhbar yang menunjukkan 197 orang ditahan polis sepanjang tahun lalu selepas terbabit kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.
“Itu laporan yang dikeluarkan pada 20 Mac 2022 lalu. Melihat kepada laporan itu, kita perlu gusar dan gerun dengan situasi ini,” katanya.
Disebabkan itu, Wanita Ikram negeri terpanggil menganjurkan seminar ‘Haruan Makan Anak’ untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat terutama ibu bapa dalam mencegah berlakunya insiden sumbang mahram dalam rumah sendiri.
Ia bukan sahaja melibatkan para ibu bapa sahaja, malah keterlibatan daripada golongan guru yang juga berperanan sebagai pendidik.
“Setiap daripada kita perlu memainkan peranan untuk menangani isu ini. Sebagai ibu bapa, tugas mereka adalah mendidik anak-anak tentang aurat, sentuhan selamat dan adab pergaulan.
“Melatih anak-anak supaya berkongsi maklumat dan tidak berahsia, sentiasa ambil peduli setiap aduan mereka. Menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan di dalam pendidikan anak-anak dan perhubungan suami isteri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Dasmawati menegaskan pengukuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat melalui hubungan keluarga yang sihat penting untuk menjadikan rumah selamat.
Tambahnya, sebagai anggota masyarakat, keterlibatan dan kesedaran masyarakat terhadap penderaan seksual kanak-kanak perlu ada.
Sekiranya ada pihak yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, mereka perlulah membuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak polis dan hospital, menggunakan talian kasih 15999.
Beliau berkata demikian dalam seminar ‘Haruan Makan Anak’ yang diadakan di Perpustakaan Awam.
Sumber: Sinar Harian