Cubaan dua orang lelaki untuk mencuri kabel berjaya digagalkan oleh pihak polis dan salah seorang daripada mereka disahkan maut ketika melarikan diri sebelum jatuh ke tingkat empat sebuah apartment di Kajang Utama, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof menyatakan bahawa saksi orang awam telah membuat panggilan kecemasan berhubung kecurian terbabit pada sekitar jam 8.20 pagi semalam.
Foto: Harian Metro
Difahamkan, pengawal keselamatan berjaya menahan salah seorang suspek yang sedang mencuri kabel, manakala seorang lagi ditemui maut kerana terjatuh dari bangunan berkenaan ketika cuba bersembunyi dan melarikan diri.
“Kedua-dua suspek disyaki menyedari kehadiran pengawal keselamatan lalu bertindak menyembunyikan diri namun gagal apabila salah seorang dapat ditahan.
“Seorang lagi cuba melarikan diri dengan melompat ke aras lain melalui balkoni namun tergelincir dan jatuh ke tingkat 4 bangunan. Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kajang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Naazron berkata, suspek yang berusia 31 tahun telah ditangkap bersama enam gulung wayar dan beberapa peralatan memotong wayar kabel berjaya dirampas.
Tambahnya lagi, selain mempunyai lapan rekod jenayah lampau, suspek itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine manakala lelaki yang maut berusia 29 tahun memiliki sebanyak sepuluh rekod jenayah.
Foto: Gambar Hiasan
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dimana sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kejadian suspek jatuh bangunan menyebabkan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sumber: Facebook Polis Daerah Kajang