Malaysia ialah sebuah negara yang dihuni oleh rakyat yang mempunyai latarbelakang yang pelbagai semenjak dari zaman sebelum merdeka. Cara hidup masyarakat Malaysia amat dipengaruhi oleh agama, budaya dan kepercayaan. Lebih-lebih lagi golongan wanita yang amat mementingkan adat, kepercayaan dan maruah dalam kehidupannya.
Jika dahulu, golongan wanita terpelihara daripada sebarang pengaruh kerana lebih banyak berada di rumah. Mereka tidak diberikan peluang untuk bersekolah sehingga ke peringkat tertinggi apatah lagi bekerja jauh dari keluarga di kota-kota besar dalam sektor formal.
Foto: Buletin TV3
Golongan wanita dahulu hanya membantu keluarga di rumah dengan kerja-kerja rumah tangga dan pertanian sara diri. Sampai waktu berkahwin, wanita akan dikahwinkan oleh ibu bapanya dengan pilihan keluarga. Kebanyakan wanita sebelum merdeka merupakan suri rumah tangga sepenuh masa dan amat mentaati suami. Wanita sebelum merdeka tidak mendapat peluang untuk belajar secara formal tentang asas kewangan, perniagaan, undang-undang, teknologi dan lebih-lebih lagi pentadbiran dan politik.
Keadaan wanita Malaysia yang merdeka amat berbeza pada hari ini. Mereka telah diberikan peluang untuk menceburkan diri dalam pelbagai arena termasuk politik, pentadbiran, pendidikan, perubatan, perkhidmatan, perkilangan, perindustrian dan sebagainya. Malah wanita Malaysia menjawat jawatan tinggi dalam bidang profesional, kemahiran, teknologi maklumat dan perniagaan setanding lelaki. Jurang sosial golongan wanita Malaysia telah dapat diatasi selepas 66 tahun merdeka.
Perbezaan ketara boleh dilihat apabila kajian pada tahun 2022 mendapati jumlah wanita mendaftar di institusi pendidikan tinggi awam mewakili 61 peratus daripada jumlah mahasiswa yang mendaftar, manakala hampir 53 peratus mahasiswa yang mendaftar di institusi swasta adalah golongan wanita.
Dalam memastikan hak-hak wanita Malaysia tidak dipinggirkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah ditubuhkan pada 2001. Pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh kerajaan untuk pemerkasaan wanita dan keluarga melalui polisi dan undang-undang, program kekeluargaan dan keibubapaan dalam menyeimbangkan kehidupan seharian.
Antara inisiatif yang telah disediakan ialah menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, persekitaran kerja yang kondusif dan selamat, waktu bekerja fleksibel, bantuan geran berbentuk perniagaan, bantuan khas kepada surirumah, polisi melibatkan wanita sebagai pembuat dasar dan sebagainya.
Manakala peruntukan berkenaan perlindungan gangguan seksual dan juga permohonan bekerja fleksi telah gazetkan dalam Akta Kerja 1955 pada Januari 2023. Walaupun hak yang diberikan tidak bersifat mutlak (kerana persetujuan diperlukan daripada majikan), namun ia secara tidak langsung menyediakan inisiatif yang baik terutama bagi wanita yang memerlukan fleksibiliti dalam bekerja dengan kekangan kesihatan dan tanggungjawab lain terutama penjagaan anak-anak.
Walaupun telah berusia 66 tahun, usaha pemerkasaan wanita merdeka masih perlu giat dilaksanakan. Peranan wanita amat penting dalam pembentukan Masyarakat Madani demi melahirkan masyarakat yang lebih mampan dan makmur. Pemerkasaan wanita dilihat lebih penting dalam kehidupan era globalisasi teknologi maklumat.
Foto: Utusan Malasyia
Seiring perumpamaan yang diberikan kepada wanita iaitu “tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia” ia merujuk kepada peranan utama wanita dalam sebuah keluarga. Walaupun wanita bergiat aktif di lapangan namun wanita berperanan besar agar dapat mendidik anak-anak dengan adab sopan yang tinggi dan ilmu yang bermanfaat serta menghormati orang yang lebih tua.
Wanita merdeka perlu menghayati dan memahami kelima-lima prinsip rukun negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan. Kelima-lima prinsip rukun negara ini perlu dibawa bersama dalam menempa kejayaan agar tidak terpengaruh dengan budaya luar yang terpesong daripada landasan agama, budaya, dasar dan peraturan masyarakat setempat.
Janganlah dilupa bahawa kejayaan yang dicapai merupakan usaha yang dikongsi bersama bermula dari individu, keluarga, masyarakat dan negara. Namun kejayaan yang hakiki bukan hanya diukur dengan pencapaian dari sudut kebendaan semata-mata bahkan perlu dihayati dan diaplikasi dalam bentuk akhlak, adab, moral dan nilai baik dan buruk dalam semua perkara.
Oleh itu, wanita Malaysia yang merdeka perlu berani mempertahankan maruah diri sendiri dari ditindas, dinodai dan ditipu disebabkan oleh kejahilan dan kealpaan sendiri. Seorang wanita merdeka seharusnya mempunyai jati diri merdeka yang boleh membebaskan diri daripada menjadi hamba kepada makhluk dan juga teknologi.
Wanita merdeka harus bijak memilih cara hidup yang lebih lestari iaitu dengan berpegang kepada sesuatu yang kekal abadi daripada sesuatu yang bersifat sementara. Wanita merdeka juga adalah wanita yang mengambil cakna kepentingan masyarakat, tidak pentingkan diri sendiri dan sentiasa positif dan proaktif untuk kemajuan.
Menjadi wanita yang berjati diri mulia, berilmu dan bijak adalah ciri-ciri wanita merdeka yang cemerlang dan lestari. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66.