Pengendali pengangkutan awam, Rapid KL menggesa semua pengguna bersama-sama menjaga kebersihan stesen dan tren selain segera melaporkan sebarang salah laku yang berlaku di premis pengangkutan awam.
Gesaan itu dibuat susulan tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai warga asing membuang air kecil ketika menuruni eskalator di sebuah stesen MRT yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Rapid KL menegaskan kebersihan stesen dan tren merupakan tanggungjawab bersama semua pengguna.
“Kebersihan stesen-stesen dan tren Rapid KL adalah tanggungjawab kita bersama. Jangan tiru aksi ini,” menurut kenyataan itu hari ini.
Rapid KL turut meminta orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya menyaksikan sebarang perbuatan yang melanggar peraturan atau mencurigakan di kawasan stesen.
“Jika ternampak aktiviti yang salah dan mencurigakan seperti kencing di tempat yang tidak sepatutnya, makan dan minum dalam tren atau berkelakuan sumbang, laporkan segera kepada petugas stesen, Polis Bantuan atau hubungi talian bantuan kami,” ujarnya.
Menurut Rapid KL, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kemudahan pengangkutan awam kekal bersih, selamat dan selesa untuk digunakan oleh setiap penumpang.








































