Keputusan Mahkamah Majistret yang memerintahkan seorang pemandu remaja lelaki dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun selepas menyebabkan kematian tiga remaja dalam nahas jalan raya di Persiaran Matahari Heights, di sini, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan keluarga mangsa.
Ibu kepada Allahyarham Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Haslinda Jupri, 45, meluahkan kekecewaan terhadap hukuman yang dianggap terlalu ringan berbanding kehilangan yang ditanggung keluarga.
“Dia masuk sekolah Henry Gurney tiga tahun, masih hidup bebas, tetapi anak kami takkan hidup kembali,” luah Haslinda Jupri, 45, ibu kepada Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15.

Pemandu Honda Jazz tiba di Kompleks Mahkamah Seremban bagi mendengar keputusan kes memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga remaja maut di Persiaran Matahari Heights, di Seremban, Mac tahun lalu. – Foto NSTP/Ahmad Hasbi
Anaknya antara tiga remaja yang maut selepas dirempuh sebuah Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian pada Mac tahun lalu.
Haslinda berkata, keputusan mahkamah yang memerintahkan remaja berusia 18 tahun itu menjalani hukuman di institusi pemulihan juvana itu sukar diterima pihak keluarga mangsa.
“Tiga tahun sahaja, saya memang tak boleh terima. Di Henry Gurney, dia bebas dekat sana, masih hidup sedangkan anak kami tidak akan hidup kembali.
“Keluarga bukan tidak reda dengan pemergian arwah, tetapi kehilangan ini juga bukan mudah bagi kami,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Beliau turut berkongsi keadaan adik mangsa, Muhammad Asraf Adha Abdullah, 15, yang masih trauma dan mengalami gangguan emosi selepas kejadian berkenaan.
“Asraf Adha ini memang rapat dengan abangnya kerana mereka dua beradik sahaja. Sehingga kini dia sukar tidur, tidak boleh ke sekolah kerana teringatkan abangnya.
“Ya, sehingga kini tidak ke sekolah. Anak selalu beritahu saya yang dia teringat abangnya, nak tidur bersama. Saya sudah buntu,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan pemandu Honda Jazz itu membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa.
Namun, Haslinda menegaskan pampasan bukanlah perkara utama yang dituntut keluarga.
“Saya tidak memandang pampasan itu. Kami hanya mahukan keadilan sahaja kerana anak kami sudah meninggal,” luahnya.
Sementara itu, ibu kepada seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, Nurha’afza Salwa Hazizan, 42, berkata keluarga masih belum dapat menerima kejadian tragis itu.
“Pihak keluarga (pemandu Honda Jazz) sehingga kini belum pernah datang berjumpa dengan kami sejak dari kejadian untuk cakap apa-apa atau minta maaf,” katanya.
Artikel lain: Nahas Dirempuh Honda Jazz: Mangsa Ketiga Maut Selamat Dikebumikan
Dalam kejadian Mac tahun lalu, seorang pemandu remaja lelaki dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum merempuh dua motosikal dari arah kiri.
Dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, manakala Aisar Azim meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar pada 10 Mac tahun lalu.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































