Seorang pesara berusia 67 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 33 tahun serta 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membabitkan kes rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua cucu perempuannya.
Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Khairi Haron selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan.

Foto: Harian Metro
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dan merogol seorang cucunya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat dalam tempoh antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya yang berusia sembilan tahun di lokasi dan tempoh yang sama.
Bagi pertuduhan amang seksual fizikal, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama. Sementara itu, pertuduhan rogol pula dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar apabila salah seorang mangsa menceritakan perkara yang dialaminya kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu.

Foto: Media sosial
Susulan laporan berkenaan, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh bagi membantu siasatan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraannya serta dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sumber: Harian Metro (Alias Abd Rani)








































