Penganjuran sebuah liga bola sepak membabitkan komuniti Rohingya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM20,000 mencetuskan perhatian ramai selepas poster kejohanan itu tular di media sosial.
Nilai hadiah cukup tinggi
Hadiah yang ditawarkan meliputi RM20,000 kepada johan, RM10,000 kepada naib johan dan RM5,000 bagi pemenang tempat ketiga.
Memetik laporan daripada Harian Metro, Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain mendakwa penganjuran kejohanan dengan nilai hadiah yang tinggi menunjukkan sebahagian komuniti Rohingya di negara ini mempunyai kemampuan kewangan hasil aktiviti pekerjaan dan perniagaan.
“Komuniti Rohingya di negara ini amat besar dengan lebih 100,000 orang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Saya percaya ada lebih ribuan lagi etnik itu di Malaysia tanpa dokumen.
“Ramai antara mereka yang bekerja dan berniaga sehingga menjadi pembekal. Ini menyebabkan mereka dapat mengumpul kekayaan sehingga menjadi ‘besar kepala’ di negara ini,” katanya ketika dihubungi.
Kerajaan perlu hadkan pergerakan komuniti mereka
Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil langkah lebih tegas bagi mengawal pergerakan komuniti tersebut supaya mereka tidak bebas menjalankan aktiviti ekonomi di seluruh negara.
“Kerajaan perlu mengehadkan pergerakan komuniti itu dengan meletakkan mereka di satu lokasi khusus seperti dilaksanakan di negara lain.
“Di Malaysia, mereka bebas untuk ke mana-mana sekali gus menjalankan aktiviti ekonomi termasuk berniaga dan mengaut keuntungan sehingga ribuan ringgit,” katanya.
Mohd Sophian turut mendakwa kehadiran komuniti Rohingya secara bebas dalam masyarakat boleh memberi kesan terhadap aspek keselamatan penduduk tempatan.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita berhak untuk menafikan kehadiran komuniti Rohingya dalam masyarakat kerana mereka dilihat mengancam keselamatan penduduk tempatan.
“Justeru itu, kerajaan perlu ambil langkah drastik segera dengan memindahkan mereka di kawasan khusus supaya komuniti ini tidak menjadi ‘barah’ kepada negara,” katanya.
Sebelum ini, poster penganjuran liga bola sepak etnik Rohingya di Bukit Mertajam menjadi tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial susulan jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan.
Sumber: Harian Metro (Nurul Hidayah Bahaudin)









































