Malaysia bakal merintis perkhidmatan feri penumpang elektrik sepenuhnya yang pertama beroperasi secara komersial merentasi laut terbuka menerusi Projek Feri Elektrik Langkawi, yang dirancang menghubungkan Kuah, Langkawi dengan Kuala Perlis.
Inisiatif itu menyusul pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yinson GreenTech (YGT), menerusi perniagaan elektrifikasi marinnya, marinEV, dengan Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB) bagi membentuk rangka kerja kerjasama untuk merealisasikan projek berkenaan.
Menerusi kerjasama tersebut, YGT akan membekalkan feri melalui perjanjian carter, manakala LPSB bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan itu.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula akan membangunkan infrastruktur bekalan kuasa dan pengecasan.
Feri yang dibangunkan berasaskan platform Hydroferry marinEV itu akan dilengkapi sistem pendorongan elektrik, storan tenaga di atas kapal dan teknologi digital bersepadu, selain keupayaan autonomi serta kawalan jarak jauh yang dibangunkan oleh Zeabuz.
Projek yang mendapat mandat sebagai Projek Keutamaan Negara itu turut menerima sokongan pihak berkepentingan kerajaan dan industri, termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan serta Jabatan Laut Malaysia.
Pengurus Besar LPSB, Haji Muhd Nasir Haji Abdul Aziz berkata, kerjasama tersebut dijangka meningkatkan ketersambungan antara Langkawi dengan tanah besar melalui perkhidmatan pengangkutan yang lebih bersih dan boleh dipercayai.
“LPSB berbesar hati menyokong projek mercu tanda ini sebagai bakal pengendali perkhidmatan feri elektrik pertama negara.
“Dengan membawa ketersambungan feri yang lebih bersih dan boleh dipercayai ke laluan Langkawi–Kuala Perlis, kerjasama ini memberi manfaat kepada komuniti tempatan, sektor pelancongan serta agenda elektrifikasi maritim Malaysia yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan marinEV, Jan-Viggo Johansen berkata, projek berkenaan akan memanfaatkan pengalaman syarikat membangunkan dan mengendalikan kapal elektrik di Singapura untuk diperluas kepada sektor pengangkutan penumpang di Malaysia.
Menurutnya, tumpuan kerjasama itu bukan sekadar membangunkan kapal elektrik, malah memastikan penyelesaian yang diperkenalkan dapat beroperasi secara komersial dengan berkesan menerusi penyepaduan kapal, kemudahan pengecasan, teknologi digital dan model operasi.
Majlis pemeteraian MoU berkenaan disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pelaksanaan projek itu juga selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menyasarkan penembusan bahan api hijau sebanyak 40 peratus dalam sektor pengangkutan marin menjelang 2050.










































