Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan satu pertemuan segera diadakan antara waris, pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menyelesaikan isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah yang tular baru-baru ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, langkah itu diambil bagi mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak terlibat selain memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.
“MAIS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga waris yang terlibat dalam isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang dan menzahirkan rasa dukacita atas insiden yang berlaku kepada waris di saat mereka kehilangan insan tersayang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MAIS memberi jaminan bahawa semua dapatan hasil siasatan pihak polis sama ada melibatkan aspek jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi akan diambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
“MAIS juga mengambil maklum kenyataan media Pengarah JAIS berhubung hasil siasatan awal berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan masjid serta dimaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh semua pihak terlibat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan adil tanpa sebarang gangguan atau andaian awal.
Artikel lain: Isu Tangguh Urus Jenazah: Waris Buat Laporan Polis, Dakwa Kenyataan JAIS Tak Tepat
Dalam masa sama, MAIS turut menegaskan akan menilai semula pengurusan jenazah orang Islam yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan.
“Hal ini bagi memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, amanah, teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan syarak,”ujar beliau.
Tambah beliau, masyarakat Islam juga diingatkan supaya terus memperkukuh ukhuwah dan tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai punca perpecahan serta kebencian.
Sumber: FB Majlis Agama Islam Selangor
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































