Waris yang terlibat dalam kes penangguhan pengurusan jenazah yang tular baru-baru ini dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam.
Ada kekeliruan atas kenyataan sebelum ini
Menerusi Facebook Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, waris telah membuat laporan polis itu kerana mendakwa kenyataan media yang dikeluarkan Pengarah JAIS mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat terhadap dirinya serta keluarga.
Waris turut mendakwa dia tidak pernah berurusan dengan pihak Masjid Nurul Hidayah kerana ketika kejadian berlaku, dia berada bersama jenazah cucunya.
Katanya, laporan polis tersebut dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar yang dilalui keluarga sepanjang proses menguruskan pengebumian.
Waris nafi semua dakwaan JAIS
Dalam laporan sama, waris turut menafikan semua dakwaan yang dikaitkan dengannya menerusi rakaman audio, penjelasan siak kepada sebuah media serta kenyataan rasmi JAIS.
Sementara itu, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official menerusi Facebook memaklumkan waris kepada si mati akan mengadakan sidang media pada petang ini bagi menjelaskan kronologi sebenar kejadian.
Semalam, JAIS menafikan dakwaan bahawa kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang berpunca daripada pihak masjid seperti yang tular di media sosial.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa pihak masjid meminta bayaran RM1,400 bagi menguruskan jenazah.
Sebaliknya, beliau menjelaskan insiden itu berlaku akibat kekeliruan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.
Sumber: Facebook Mr Wan Cai Official







































