Bapa kepada pelajar perempuan yang cedera ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah di sini menegaskan anaknya bukan seorang pembuli seperti yang didakwa menerusi kandungan tular di media sosial.
Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan, termasuk dakwaan yang mengaitkan anak perempuannya dengan kes buli.
Menurutnya, beliau ada menerima mesej WhatsApp yang mengandungi senarai nama individu yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit, namun tidak dapat mengesahkan kesahihannya.
“Saya ada juga mendengar cerita dan menerima mesej WhatsApp yang mengandungi senarai nama yang tular itu, tetapi kami tidak dapat memastikan kesahihannya.
“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan,” katanya di Hospital Banting, hari ini.
Mohd Firuz berkata demikian ketika mengulas mengenai surat yang tular di media sosial yang mendakwa mengaitkan nama anaknya dengan kes buli.
Mengulas mengenai keperibadian anaknya, beliau menyifatkan anaknya sebagai seorang yang pendiam dan jarang keluar bersendirian bersama rakan-rakan.
“Kalau keluar rumah pun saya atau ibunya yang menghantar.
“Anak saya seorang yang pendiam. Bila ditanya, barulah dia menjawab dan hanya meminta sesuatu apabila perlu.
“Dia tidak pernah keluar bersendirian dengan rakan-rakan. Jika ada dakwaan mengatakan dia membuli, saya rasa perkara itu tidak mungkin berlaku. Namun, saya terbuka sekiranya pihak polis mahu menyiasat elemen buli,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Firuz berkata keluarganya juga tidak mengenali keluarga remaja yang didakwa menikam anaknya.
“Anak saya juga tidak pernah bercerita mengenai rakan tersebut,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dipercayai menikam mangsa yang sebaya dengannya sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, suspek tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.
Suspek yang memakai kemeja-T hitam dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, suspek ditahan sejurus selepas kejadian dan kini direman selama empat hari sehingga Jumaat.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian (Muhammad Afham Ramli)










































