Tindakan seorang pelancong asing yang didakwa membiarkan anaknya membuang air besar di dalam tong sampah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengundang kecaman orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi video yang dikongsikan di laman Threads, kanak-kanak terbabit dilihat mencangkung di atas sebuah tong sampah, manakala ibu bapanya hanya berada di sisi tanpa membawanya ke tandas, walaupun kemudahan itu dikatakan terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
Individu yang memuat naik video berkenaan turut mendakwa lelaki tersebut hanya menuju ke tandas untuk mencuci tangan selepas anaknya selesai membuang air, namun meninggalkan sisa najis di dalam tong sampah yang digunakan oleh orang ramai.
Perkongsian itu kemudian menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak beradab serta tidak menghormati kebersihan kemudahan awam.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu, selain bersimpati dengan pekerja pembersihan yang terpaksa menguruskan sisa berkenaan.
Mereka berpendapat tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan kebersihan kawasan awam, malah boleh menjejaskan keselesaan pengguna lain serta memberi imej negatif terhadap budaya menjaga kebersihan di tempat awam.
Dalam masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang mencadangkan supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terbabit, termasuk mengenakan khidmat masyarakat sebagai pengajaran agar kejadian sama tidak berulang.
Sumber: Threads oklatuu700












































