Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh usaha memupuk budaya menabung dan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda menerusi Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN bersempena Karnival Ceria Simpan SSPN (KCS) 2026.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pertandingan berkenaan bukan sahaja menjadi medium untuk menyampaikan kepentingan menabung melalui Simpan SSPN, malah turut membuka ruang kepada murid mengembangkan bakat dan kreativiti menerusi seni persembahan.
“Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN merupakan salah satu aktiviti utama dalam Karnival Ceria Simpan SSPN (KCS) Peringkat Negeri yang telah diadakan serentak di seluruh Malaysia pada 27 Jun 2026.
“Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja bertujuan memupuk budaya menabung dan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda, malah turut menjadi wadah untuk mencungkil bakat serta mengembangkan kreativiti murid melalui pendekatan seni dan persembahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pertandingan bertemakan ‘Simpanan Sejuta Impian’ itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM15,000, termasuk lapan anugerah khas bagi menghargai sekolah, guru dan murid yang menunjukkan kreativiti serta prestasi cemerlang.
“Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM15,000, termasuk lapan anugerah khas yang diberikan sebagai penghargaan kepada sekolah, guru dan murid yang telah menunjukkan kreativiti, kualiti serta prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada semua yang terlibat untuk terus mengembangkan bakat dan berkarya dengan lebih kreatif pada masa hadapan,” ujarnya.
Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN Peringkat Kebangsaan 2026 disempurnakan oleh Ahmad Dasuki di AEON Mall Cheras Selatan, Selangor pada Ahad.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad; Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM, Sanoyah Yusof; pengarah-pengarah Jabatan Pendidikan Negeri serta guru besar sekolah yang terlibat.
Sementara itu, PTPTN berkata, pertandingan berkenaan terbuka kepada sekolah yang melaksanakan Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP), khususnya susulan pelaksanaan modul baharu berkenaan mulai sesi persekolahan 2026.
“Ia telah dilaksanakan di peringkat negeri pada 27 Jun lalu dengan penyertaan 45 sekolah dari 13 negeri, sekali gus mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah.
“Penglibatan murid Tahap 2 dalam pertandingan berkenaan turut memberi nilai tambah melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJK), tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam kenyataan sama.
Jelasnya, selain menjadi platform menyampaikan mesej berkaitan kepentingan menabung, pertandingan itu turut memberi peluang kepada murid menyerlahkan bakat, kreativiti dan keyakinan diri dalam bidang seni persembahan.
“Sebagai galakan, pemenang di setiap peringkat menerima hadiah dalam bentuk akaun Simpan SSPN yang secara tidak langsung dapat menyemai amalan menabung sejak usia muda.
“PTPTN berharap pendekatan pendidikan kewangan melalui aktiviti kreatif dan menyeronokkan itu dapat membantu generasi muda memahami kepentingan perancangan kewangan serta membina asas pengurusan kewangan yang lebih baik sebagai persediaan menghadapi masa depan pendidikan,” ujar PTPTN lagi.
Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh menerusi portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.






































