Seorang guru disiplin cedera dipercayai selepas ditumbuk sekumpulan pelajar dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini, yang dipercayai berpunca daripada tindakan menggunting rambut seorang pelajar.
Kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu dilaporkan berlaku semalam, sebelum situasi bertukar tegang apabila tindakan guru lelaki berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar terbabit.
Insiden berkenaan difahamkan berlaku di kawasan sekolah sebelum guru tersebut dipercayai diserang oleh beberapa pelajar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairuddin Abu Hanipah berkata, pihaknya ketika ini masih menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung kejadian itu.
“Saya belum dapat maklumat secara sahih dan masih menunggu laporan daripada pihak JPN berkaitan kejadian itu,” katanya.
Artikel lain: Pelajar Tular Tumbuk Guru Tukar Pengakuan Tidak Bersalah
Katanya, jika insiden itu benar berlaku, ia merupakan tindakan yang tidak wajar memandangkan guru memainkan peranan sebagai pendidik dan pembimbing pelajar.
Beliau turut menegaskan bahawa pelajar perlu sentiasa menghormati guru walaupun wujud perkara dalam proses pembelajaran yang tidak disenangi.
“Guru adalah murabbi yang mendidik dan mengasuh anak-anak.
“Adab dan nilai perlu diletakkan lebih tinggi daripada ilmu. Jika adab tiada, sukar untuk melahirkan individu yang berdisiplin dan berwawasan,” katanya.
Sumber: BH Online








































