Keberanian seorang pemandu lori yang mempertaruhkan keselamatan dirinya untuk mengelakkan sebuah bas ekspres daripada terbabas akhirnya mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000 daripada kerajaan hari ini.
Tindakan pantas selamatkan 21 nyawa
Memetik laporan daripada Bernama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Anthony Loke menyatakan penghargaan menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu diberikan kepada Wong Tuck Meng, 40, atas tindakan pantasnya menyelamatkan nyawa 21 penumpang dalam kejadian berhampiran Terowong Menora, Perak pada 15 Jun lalu.
“Oleh kerana kepantasan seorang pemandu, seorang wira yang mengambil tindakan walaupun mungkin membahayakan dirinya sendiri, tindakan itu telah berjaya mengelakkan satu kemalangan tragis dan menyelamatkan ramai nyawa manusia,” katanya pada majlis penghargaan khas di bangunan Parlimen hari ini.
Bas alami masalah teknikal & hilang kawalan turun terowong
Menurut Anthony, bas yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal dan hilang kawalan sepenuhnya ketika menuruni bukit berhampiran terowong berkenaan.
Dalam situasi cemas itu, Wong bertindak tenang dengan membenarkan bas tersebut “berpaut” pada lorinya selepas merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan bagi mengurangkan impak momentum.
“Bukan sahaja dapat memperlahankan, malah berjaya memberhentikan bas itu tanpa terbabas menggunakan lorinya dengan merapatkan kenderaan ke arah rel penghadang ketika menuruni bukit,” katanya.
Sementara itu, Wong menyatakan tindakannya ketika kejadian berlaku dilakukan secara spontan demi memastikan pengguna jalan raya lain sempat menyelamatkan diri dan mengelakkan kehilangan nyawa.
“Saya hanya terfikir situasi macam itu, seboleh-bolehnya jangan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian.
“Jarak bas agak jauh sedikit jadi sempat untuk saya tekan hon bagi memberi masa kepada kereta-kereta di depan menyelamatkan diri,” katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat turut merakamkan penghargaan kepada Wong atas keberaniannya selepas Anthony membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Anthony turut menyifatkan Wong sebagai “wira negara” kerana tindakannya berjaya mengelakkan tragedi yang lebih buruk dan membuktikan masih ramai individu yang sanggup membantu orang lain demi keselamatan awam.
Sebelum ini, rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial dan menerima pujian meluas daripada orang ramai yang mengagumi keberanian serta tindakan pantas pemandu lori berkenaan.
Sumber: Bernama







































