Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

SAR Jaslinda: Sukarelawan Orang Asli Sertai Operasi, Bantu Pasukan Penyelamat Cari Mangsa

Rasa tanggungjawab terhadap keselamatan dan nyawa manusia mendorong sukarelawan Orang Asli suku Semai tampil membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.

Tok Batin Kampung Ampang Woh, Bah Lilit, berkata usaha itu bukan sekadar tugasan, sebaliknya amanah untuk membantu pasukan penyelamat mengesan mangsa selepas operasi pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk.

“Pada mulanya kami hanya mengikuti perkembangan pencarian kerana tidak mahu mengganggu tugas pasukan penyelamat. Kami percaya setiap agensi mempunyai kepakaran dan perancangan tersendiri untuk mencari mangsa.
“Apabila mangsa masih belum ditemukan, kami terpanggil untuk membantu, mungkin dengan sedikit pengalaman mengenai kawasan ini dapat memudahkan operasi pencarian. Hasrat kami, hanya untuk membantu pasukan penyelamat menjumpai mangsa secepat mungkin,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, operasi pencarian yang digerakkan oleh kumpulan sukarelawan itu akan bermula esok pada jam 7 pagi dan dijangka berlangsung selama enam hari.

Pasukan berkenaan akan melalui laluan Kampung Ampang Woh menuju ke kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu yang dipercayai antara laluan dilalui mangsa.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Beliau memaklumkan laluan berkenaan berbeza daripada trek utama yang lazim digunakan anggota penyelamat dan malim gunung sepanjang operasi SAR dijalankan.

“Kita akan bermula dari Kampung Woh menuju ke Kem Sukaneka yang akan memakan masa lebih sehari. Selepas tiba di kem berkenaan, kami akan berehat seketika sebelum meneruskan pencarian di sekitar kawasan itu.
“Jika tiada sebarang jejak atau kesan, proses pencarian akan diteruskan ke Gunung Rayu yang mengambil masa sekitar enam jam untuk sampai ke sana,” ujarnya.

Bah Lilit menjelaskan, semua sukarelawan yang terlibat akan bergerak secara serentak dalam satu kumpulan besar dengan membuka laluan masing-masing bagi memperluaskan kawasan pencarian.

“Setiap orang akan buka laluan masing-masing dalam jarak yang membolehkan kami saling melihat. Kaedah ini memudahkan kawasan pencarian diliputi dengan lebih luas tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
“Jika ada kesan yang ditemukan, maklumat itu dapat disampaikan dengan segera kepada anggota lain,” tambah beliau.

Beliau berkata, bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, keadaan hutan tebal dan cuaca yang tidak menentu dijangka menjadi cabaran utama sepanjang operasi tersebut.

Selain itu, tempoh perjalanan yang panjang untuk tiba di lokasi pencarian serta keperluan membawa bekalan makanan dan peralatan mencukupi turut menambah kesukaran kepada pasukan sukarelawan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sementara itu, seorang sukarelawan, Bah Fazil, 56, berkata beliau akan berperanan sebagai penunjuk arah dan pemantau laluan bagi memastikan pergerakan pasukan berjalan lancar serta tidak tersasar daripada kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Saya akan membantu menunjukkan laluan yang sesuai selain mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk diperiksa berdasarkan pengalaman saya keluar masuk hutan di kawasan ini sejak sekian lama.
“Apa yang penting ialah memastikan semua anggota bergerak dengan selamat dan setiap kawasan yang disyaki dapat diperiksa dengan teliti,” katanya.

Dalam pada itu, Bah Fazil menasihatkan pendaki dan pencinta alam supaya memaklumkan kepada komuniti Orang Asli setempat sebelum memulakan sebarang aktiviti pendakian bagi memudahkan pemantauan dan tindakan sekiranya berlaku kecemasan.

Menurutnya, masih terdapat segelintir pendaki yang tidak memaklumkan kehadiran mereka kepada penduduk setempat dan hanya mendapatkan bantuan selepas berlaku kejadian tidak diingini.

“Kalau mereka maklumkan lebih awal, kami boleh bantu dari awal lagi. Ini akan memudahkan operasi pencarian sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini kerana kami lebih arif dengan laluan dan keadaan kawasan hutan di sini,” jelasnya.

Artikel lain: SAR Jaslinda: Komuniti Orang Asli Sedia Bantu – “Kalau Jumpa Sungai Besar, Pasti Jumpa Kampung Kami”

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti seketika.

Bagaimanapun, wanita itu meneruskan perjalanan ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei.

Sumber: BERNAMA

Farah Nadia
Written By

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Empat maut dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Kluang hari ini, lapor Kosmo! Online. Dalam...

Lokal

Seorang pekerja FamilyMart yang didakwa menyimbah sup ke arah seorang penghantar makanan telah digantung tugas sementara menunggu siasatan dalaman dijalankan oleh pihak syarikat. Syarikat...

Lokal

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor bersama isterinya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai, awal pagi tadi....

Lokal

Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan lima buah kenderaan yang mengorbankan lima nyawa di Kilometer 27,...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd