Komuniti Orang Asli di sekitar Jalan Pahang di sini menyatakan kesediaan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.

Foto: TT oneside_94
Menurut laporan Kosmo! Online, Tok Batin Kampung Batu 17, Bah Ahang, 72, berkata, masyarakat Orang Asli mempunyai pengalaman serta pengetahuan mendalam mengenai laluan dan keadaan muka bumi di kawasan pedalaman yang boleh dimanfaatkan dalam operasi pencarian sekiranya diperlukan pihak berkuasa.
“Orang kampung yang mencari hasil hutan seperti rotan, petai dan buluh biasanya masuk jauh ke dalam hutan.
“Jika diminta membantu, kami boleh menggerakkan anak-anak buah untuk turut serta dalam operasi pencarian mengikut kepakaran masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online pada Isnin.

Foto: Kosmo! Online
Bah Ahang yang pernah berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq berkata, mangsa berkemungkinan mampu bertahan sekiranya berjaya menemui aliran sungai yang boleh dijadikan panduan untuk keluar dari kawasan hutan.
“Kalau dia turun dan menyusur anak sungai sampai ke sungai besar, dia pasti akan jumpa Kampung Orang Asli. Ada beberapa kampung di sekitar kaki bukit,” ujarnya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Batu 9, Osman Bah Ut, 55, berkata, terdapat beberapa belia Orang Asli yang mahir dengan kawasan hutan sekitar dan bersedia untuk membantu sekiranya khidmat mereka diperlukan.
“Ada tapi tidak ramai. Yang mahir selok-belok hutan adalah tinggal di kampung, tapi sekarang ramai yang keluar bekerja di luar. Kalau diperlukan, kami sedia panggil anak-anak buah,” katanya.

Foto: TT oneside_94
Menurutnya, masyarakat Orang Asli mempunyai prinsip tersendiri ketika memasuki kawasan hutan, termasuk memastikan semua ahli kumpulan pulang bersama-sama seperti mana mereka memulakan perjalanan.
“Kalau dah berjanji lima orang pergi, lima orang mesti balik. Kalau gagal, dua tiga orang (cedera) di tengah jalan, kami tak akan teruskan dan berpatah balik,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Tok Batin Lata Iskandar, Nazri Bah Ngok, 60, berkata, tidak mustahil mangsa ditemui oleh penduduk Orang Asli yang memasuki hutan untuk mencari hasil hutan seperti rotan, petai dan buluh.
“Kalau mereka masuk kawasan dalam, ada peluang terserempak dengan mangsa, terutama jika dia berada berhampiran laluan yang biasa digunakan,” katanya.

Foto: Media sosial
Beliau turut menegaskan kepentingan mendapatkan khidmat malim gunung tempatan, khususnya bagi pendakian di kawasan pergunungan yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar seperti Gunung Batu Putih.
Katanya, penduduk Orang Asli Pos Musoh antara yang paling sesuai memainkan peranan tersebut kerana mempunyai pengetahuan mendalam mengenai laluan, kawasan berlumpur serta lokasi berisiko di hutan berkenaan.








































