Seorang penggali kubur, Rosli Abdullah, 52, kini hanya mampu bergantung sepenuhnya kepada cecair yang disalurkan menerusi tiub selepas hilang keupayaan untuk membuka mulut dan mengunyah makanan akibat kanser mulut yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.
Lebih menyayat hati, lelaki yang sebelum ini menabur bakti menguruskan jenazah dan menggali kubur itu kini terlantar menahan kesakitan apabila pipi kanannya semakin membengkak selepas sel kanser kembali menyerang.
Rosli berkata, dia sudah dua kali menjalani prosedur pembedahan sejak disahkan menghidap penyakit itu, namun keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja.
“Saya dah tak boleh buka mulut untuk makan. Setiap hari saya hanya minum guna tiub kerana itu sahaja cara untuk saya dapatkan tenaga.
“Selepas kesihatan semakin teruk, saya juga tidak mampu bekerja. Saya kini bergantung kepada bantuan pihak pengurusan surau untuk makan, minum dan keperluan harian.
“Saya harap ada insan yang sudi membantu saya mendapatkan rawatan secepat mungkin. Saya masih mahu sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Menurut Rosli, dia kini dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan bagi menjalani pembedahan susulan selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Bagaimanapun, impiannya untuk kembali sihat berdepan kekangan kewangan apabila dia memerlukan kira-kira RM50,000 bagi menampung kos pembedahan serta perbelanjaan sepanjang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Artikel lain:
Sebelum diuji penyakit itu, Rosli yang belum berkahwin menyara kehidupan sebagai penggali kubur selain menguruskan jenazah dan menjaga kebersihan Surau Flat Batas Baru yang turut menjadi tempat tinggalnya sejak lebih 30 tahun lalu.
Walaupun mempunyai adik-beradik tiri yang tinggal berhampiran, dia kini lebih banyak bergantung kepada ihsan pihak pengurusan surau dan rakan-rakan di kawasan Flat Batas Baru untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Pihak pengurusan surau ada membuka tabung sumbangan untuk saya tapi dana yang dikumpul setakat ni masih sikit untuk tampung rawatan saya,” katanya lagi.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu Rosli boleh menghubungi Bendahari Surau Flat Batas Baru, Tuan Ridwan di talian 014-3695714.
Selain itu, bantuan terus boleh disalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1110141100035581 atas nama Rosli Abdullah.
Sumber: Sinar Harian (Norhaspida Yatim)










































