Invidivu yang pernah tular dibantu pempengaruh Minyak Hitam Jalanan, Dicky Yau berkongsi satu pengalaman yang menyentuh hati apabila didatangi lima orang kanak-kanak yang sanggup menaiki bas semata-mata untuk bertemu dengannya di tempat kerja serta mencuba makanan yang dijual.
Mereka cuma bawa RM20
Menurut Dicky dalam hantaran di Facebook, kanak-kanak tersebut memaklumkan mereka sudah lapar dan bertanya sama ada mereka boleh membeli makanan.
Selepas mengetahui mereka hanya mempunyai wang sebanyak RM20, Dicky pada mulanya bercadang untuk menambah baki bayaran, menyediakan beberapa lauk tambahan serta memulangkan semula wang mereka.
“Saya pun tanya la; Korang ada berapa?”
Mereka kumpul duit, semuanya ada RM20. Saya kata; ‘Ok, selebihnya abang Dicky tambah,’” tulisnya.
Mahu belanja namun, ada wanita ajar cara membantu yang betul
Walau bagaimanapun, hasrat itu berubah apabila seorang wanita yang sedang menikmati makanan bersama keluarganya tampil menawarkan diri untuk membayar hidangan kanak-kanak tersebut.
“Akak: ‘Dicky, biar akak yang bayarkan mereka. Tapi duit RM20 itu jangan dipulangkan. Biar mereka belajar bahawa di mana-mana pun kita makan, kita tetap perlu membayar,” tulisnya lagi.
Dalam membantu ada juga pelajaran
Dicky mengakui kata-kata wanita itu membuatkan beliau berfikir sejenak sebelum menyedari bahawa membantu seseorang tidak semestinya bermaksud memberi secara percuma.
“Masa itu saya terdiam sekejap. Bila difikirkan semula, betul juga kata akak itu.
Membantu bukan bermaksud mengajar orang bergantung kepada pemberian. Kadang-kadang, bantuan yang terbaik datang bersama pengajaran,” ujarnya.
Tambahnya, beliau bersyukur kerana kanak-kanak tersebut tetap dapat menikmati makanan sehingga kenyang hasil keprihatinan wanita berkenaan.
Di akhir perkongsiannya, Dicky berharap kanak-kanak itu akan membesar menjadi insan yang menghargai setiap rezeki dan meneruskan amalan membantu orang lain apabila berkemampuan suatu hari nanti.
“Abang tak harap adik-adik ingat siapa yang belanja makan hari ini. Abang cuma harap, bila suatu hari nanti adik-adik sudah berjaya dan mampu, hulurkanlah bantuan kepada orang lain yang memerlukan.
Rezeki yang paling indah bukanlah rezeki yang kita simpan, tetapi rezeki yang kita kongsi. Semoga adik-adik berjaya dunia dan akhirat,” ujarnya tulus.
Sumber: Facebook Dicky Yau







































