Perodua mengumumkan pengurangan sehingga 10 peratus ke atas kos alat ganti komponen penyelenggaraan termasuk caj buruh sebagai langkah membantu rakyat Malaysia berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pengurangan itu melibatkan harga alat ganti penyelenggaraan serta kos buruh yang dikenakan kepada pelanggan di pusat servis bertauliah.
“Kami percaya penurunan kos penyelenggaraan ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka, dan kami di Perodua menjalankan tanggungjawab kami untuk memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan kami,” katanya hari ini.
Menurut beliau, dengan pelaksanaan penurunan harga tersebut bermula esok, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sekitar 10 peratus daripada jumlah bil penyelenggaraan masing-masing.
Kempen berkenaan turut melibatkan semua model Perodua termasuk QV-E, merangkumi pemeriksaan, penggantian komponen serta kos buruh berkaitan servis kenderaan.
Zainal Abidin berkata, berdasarkan data dalaman syarikat, lebih lima juta kenderaan Perodua berada di atas jalan raya ketika ini, dan inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai pemilik kenderaan di seluruh negara.
Artikel lain: Perodua Perkenal QV-E , Kenderaan EV Babit Kos Pembangunan RM800 Juta
Dalam perkembangan berkaitan, Perodua sebelum ini turut mengumumkan pengurangan harga kenderaan elektrik (EV) pertamanya, QV-E, kepada RM93,999 untuk pemilikan penuh atau RM69,999 melalui pakej Battery as a Service (BAAS) dengan bayaran bulanan RM215 selama sembilan tahun.
Bagi tempoh terhad, harga promosi diturunkan kepada RM87,499 untuk pemilikan penuh atau RM63,499 bagi pakej BAAS dengan bayaran bulanan sama, sebelum tawaran itu berakhir pada 30 September 2026.
Sumber: Malaysia Gazette









































