Seorang pelancong dari Australia yang dikenali sebagai Roman Travel mencuri perhatian selepas berkongsi pandangannya mengenai sebuah acara pesta air, Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, festival tersebut dianjurkan dengan baik dan meriah namun beliau merasakan elemen budaya tempatan tidak begitu menonjol berbanding suasana muzik elektronik dan hiburan moden yang menjadi tarikan utama acara itu.
“Saya boleh faham kenapa orang suka, suasana memang seronok. Tapi secara peribadi, ia tidak terasa begitu Malaysia,” katanya menerusi dua hantaran video di aplikasi TikTok.
Dia bagaimanapun menegaskan bahawa pandangan itu bersifat peribadi dan tidak berniat untuk mengkritik acara berkenaan.
Roman berkata, sepanjang tempoh tinggal di Malaysia, dia lebih menghargai pengalaman budaya tempatan seperti sambutan yang lebih menyerlahkan identiti sebenar negara ini melalui kepelbagaian kaum, warna, makanan dan tradisi.
Dalam masa yang sama, Roman menjelaskan bahawa dia memahami kedua-dua sudut pandang tersebut dan tiada niat untuk tidak menerima pendapat umum.
Malah, dia mencadangkan agar Malaysia mempertimbangkan penganjuran festival gabungan yang menampilkan elemen budaya pelbagai kaum bersama hiburan moden serta persembahan artis tempatan.
“Bagi saya, pengalaman menyambut Merdeka, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Festival Sarong, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri benar-benar menonjolkan keunikan Malaysia,” ujarnya selepas sembilan bulan menetap di Malaysia.
Katanya, pendekatan itu boleh menjadi tarikan pelancongan yang lebih kuat kerana ia bukan sahaja menawarkan hiburan tetapi juga pengalaman budaya yang lebih menyeluruh.







































