Kementerian Perpaduan Negara mengumumkan Inisiatif Jelajah Belia Rukun Negara akan digerakkan bermula Julai hingga Disember inidi seluruh negara.
Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program itu melibatkan 1,200 peserta dengan terdiri aktiviti seperti Bicara Rukun Negara: Menjiwai Rukun Negara, Pemekaan Rukun Negara serta Interaktif dan Inovasi Penghayatan Rukun Negara.
“Saya berharap agar program ini berjaya menghasilkan idea dan gagasan baharu yang membawa kebaikan kepada negara dan terus bersama sama melipatgandakan usaha membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024 bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, hari ini.
Program Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara pada tahun ini mengangkat tema “Menjiwai Rukun Negara”, bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.
KPN melihat matlamat utama program ini termasuk membentuk pemikiran holistik mahasiswa, mempromosikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan, memperkuat semangat perpaduan melalui debat, dan meningkatkan pemahaman terhadap kepelbagaian etnik, agama, dan budaya.
“Pelaksanaan Debat Perpaduan juga selari dengan komitmen dan objektif Dasar Perpaduan Negara dalam memupuk dan mengukuh perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Saya dimaklumkan bahawa seramai 200 pembahas melibatkan 50 pasukan telah sertai pertandingan debat ini. Tahniah kepada semua pasukan atas kesungguhan dan semangat yang telah ditunjukkan,” ujarnya.
Sementara itu, Aaron menjelaskan bahawa Dasar Perpaduan Negara (DPN) merupakan dasar payung yang melakarkan usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian digunakan untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. Dasar ini menetapkan hala tuju perpaduan negara dan bertindak sebagai pemangkin bagi pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni,” jelasnya.
Dalam pada itu, Debat Perpaduan ini ditunjangi oleh beberapa rakan strategik yang menjayakan program ini iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semua Institut Pendidikan Tinggi yang terlibat, semua Sekretariat Rukun Negara, Rakan Strategik Perpaduan dan Rakan Media Perpaduan.
Johan dimiliki oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), tempat kedua diraih Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM) pula di tempat ketiga dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di tempat keempat.