Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang dipercayai menikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting, dengan siasatan awal mendapati suspek mendakwa menyimpan rasa tidak puas hati terhadap beberapa individu yang dididakwa pernah membulinya.

Foto arkib: Media sosial
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bagaimanapun berkata, setakat ini tiada keterangan yang diperoleh mengesahkan dakwaan bahawa kejadian buli benar-benar berlaku.
“Hasil siasatan awal peringkat ini, kita mendapati alasan diberikan adalah berkaitan dengan rasa tidak puas hati ataupun boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa individu rakan sekolahnya yang dikatakan membuli suspek tersebut.
“Namun, hasil daripada keterangan yang diberi tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini.

Foto arkib: Bernama
Menurut beliau, polis telah merakam pelbagai percakapan termasuk melibatkan 10 pelajar yang nama mereka tular di media sosial dan dikaitkan dengan insiden berkenaan.
“Siasatan berhubung kes tikaman itu masih berjalan dan belum selesai sepenuhnya. Jadi saya minta beri ruang kepada pegawai penyiasat membuat siasatan sepenuhnya dan dapat membuat kesimpulan secara menyeluruh,” ujarnya.
Mengulas perkembangan mangsa, Shazeli memaklumkan pelajar terbabit berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan serta menjalani proses pemulihan di hospital.
“Temu bual terhadap mangsa juga telah dijalankan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa polis sedang meneliti sama ada tindakan suspek mempunyai kaitan dengan pengaruh kandungan jenayah di media sosial yang berkemungkinan mempengaruhi pemikiran serta tingkah lakunya.
“Apa jenis video media sosial itu saya tidak boleh kongsikan kerana masih lagi dalam siasatan dari polis,” ujarnya.
Sebelum ini, beberapa keping surat yang didakwa milik suspek berusia 15 tahun tular di media sosial selepas insiden berkenaan berlaku.
Tinjauan di beberapa akaun Threads mendapati nota tersebut mula dimuat naik sejurus kejadian berlaku dan dipercayai mengandungi catatan mengenai suspek serta beberapa individu lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan selepas dipercayai ditikam suspek menggunakan sebilah pisau di kawasan sekolah.

Foto arkib: Media sosial
Suspek yang dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana menjalani rawatan kesihatan dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi sebelum ini memaklumkan suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian (Ahmad Ismadi Ismail)







































