Tiga lelaki bersama seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap seorang penternak lembu di Ladang Kemahang awal pagi Isnin, dibebaskan selepas Mahkamah Majistret di sini menolak permohonan reman terhadap mereka pada Selasa.
Mahkamah tolak permohonan reman
Memetik laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini selepas mendapati kesemua suspek berusia antara 21 hingga 45 tahun, termasuk seorang warga Indonesia, tidak mempunyai ‘nexus’ atau kaitan yang mencukupi dengan kesalahan yang sedang disiasat.
Sebelum prosiding, kesemua suspek dilihat tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.
Terdahulu, pada Isnin, media melaporkan pihak polis sedang giat memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan tersebut di lokasi sama.
Dalam insiden sekitar jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, dilaporkan cedera selepas terkena tembakan pada bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan curi lembu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.26 pagi.
Menurut beliau, sebelum kejadian, pengadu yang merupakan jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya telah memulakan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak jam 1.30 pagi.
“Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan kira-kira lima lelaki dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand.
“Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri sejurus kejadian bagi menyelamatkan diri. Namun, menurutnya, Mohd Khairul Amri terkena tembakan di bahagian dagu.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan.
Mohd Haki turut memaklumkan bahawa dalam kejadian sama, sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa dilarikan oleh salah seorang suspek yang dipercayai warga tempatan.
Artikel lain: Kes Tembak Komander AKPS: Anggota Perisikan PGA Ditahan, Disyaki Rapat Dengan Ahli Sindiket
Tambah beliau, kesemua suspek dianggarkan seramai lima orang dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)






































