Polis tidak menemukan sebarang unsur paksaan dalam siasatan terhadap dakwaan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang siak di bilik jenazah sebuah masjid di Melaka Tengah.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima pada pukul 9.12 pagi semalam daripada seorang wanita berusia lingkungan 50-an.
Beliau berkata, pengadu mendakwa dirinya menjadi mangsa perbuatan cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki berusia 48 tahun di lokasi berkenaan.
“Pengadu mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki berusia 48 tahun di bilik jenazah sebuah masjid di sekitar Melaka Tengah.
“Isu berkenaan turut tular dan menjadi bualan masyarakat setempat.
“Bagaimanapun, hasil keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan menunjukkan tiada sebarang elemen paksaan sekali gus gagal membuktikan kewujudan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Foto arkib: Bernama
Dzulkhairi berkata, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, kes tersebut tidak memenuhi elemen kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa polis.
Sehubungan itu, katanya, kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
“Kes berkenaan telah diserahkan kepada JAIM bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang syariah negeri,” ujarnya.

Foto: Janaan AI
Sebelum ini, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan siak yang dikaitkan dengan kes berkenaan telah meletakkan jawatan pada Mei lalu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pihak masjid tidak dapat mengesahkan sebab lelaki terbabit mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut.
Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)








































