Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) tertinggi dalam sejarah syarikat bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 apabila merekodkan RM158.2 juta.
Prestasi itu meningkat lima peratus berbanding RM151.1 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan daya tahan model perniagaan serta kekuatan asas operasi kumpulan.
Keuntungan selepas zakat dan cukai pula meningkat enam peratus kepada RM100 juta berbanding RM94.6 juta pada suku pertama 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan kekuatan asas syarikat serta kepercayaan berterusan pelanggan terhadap jenama Takaful Malaysia.
“Prestasi rekod suku pertama kami mencerminkan kekuatan asas Takaful Malaysia, daya tahan model perniagaan kami yang pelbagai, serta kepercayaan berterusan pelanggan terhadap jenama kami.
“Walaupun berdepan landskap operasi yang lebih mencabar, kami kekal fokus terhadap pelaksanaan yang berdisiplin, ketangkasan operasi dan penyampaian nilai mampan merentasi semua segmen perniagaan teras kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Foto arkib: The Edge
Beliau berkata, pertumbuhan keuntungan yang berterusan membuktikan keberkesanan strategi jangka panjang yang dilaksanakan syarikat menerusi amalan pengunderaitan berhemat, pengurusan pelaburan yang kukuh dan usaha transformasi digital.
“Pertumbuhan keuntungan yang berterusan membuktikan keberkesanan strategi jangka panjang kami yang disokong oleh amalan pengunderaitan yang berhemat, pengurusan pelaburan yang kukuh, penyelesaian berteraskan pelanggan serta inisiatif transformasi digital yang berterusan.
“Kami kekal komited untuk terus memperkukuh kedudukan pasaran sambil mencipta nilai mampan untuk semua pihak berkepentingan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, segmen Takaful Keluarga merekodkan hasil takaful sebanyak RM568.2 juta bagi suku pertama tahun ini, disokong oleh struktur caj perlindungan yang lebih mampu milik dan kompetitif.
Segmen Takaful Am pula mengekalkan momentum pertumbuhan apabila hasil takaful meningkat 14.2 peratus kepada RM392.2 juta berbanding RM343.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut Takaful Malaysia, peningkatan itu didorong terutamanya oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen Takaful Motor dan Kebakaran yang terus mencatat permintaan memberangsangkan.
Prestasi pelaburan kumpulan turut menunjukkan peningkatan apabila pendapatan pelaburan bersih bagi segmen Takaful Am meningkat kepada RM18.8 juta berbanding RM17.3 juta pada suku pertama 2025.
Selain itu, pendapatan pelaburan segmen Takaful Keluarga meningkat sebanyak RM67.8 juta tahun ke tahun, didorong oleh kerugian nilai saksama yang lebih rendah ke atas sekuriti ekuiti serta keadaan pasaran yang lebih baik.
Nor Azman berkata, kepelbagaian perniagaan yang merangkumi bankatakaful, manfaat pekerja, perbendaharaan dan takaful am terus menjadi pemacu utama kestabilan serta pertumbuhan syarikat.
“Tonggak perniagaan kami yang pelbagai merangkumi bankatakaful, manfaat pekerja, perbendaharaan dan takaful am terus memberikan daya tahan, kestabilan serta peluang pertumbuhan mampan kepada kumpulan.
“Pada masa sama, kami terus memberi tumpuan kepada pengukuhan infrastruktur digital, keupayaan operasi serta pengalaman pelanggan bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan, inovasi dan kecekapan operasi,” ujarnya.
Beliau berkata, melalui Kaotim, platform dan jenama digital kumpulan, Takaful Malaysia akan terus memperluaskan akses kepada penyelesaian perlindungan yang mampu milik dan mudah diakses menerusi pendekatan berteraskan teknologi.
Katanya, syarikat juga kekal komited memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang serta penciptaan nilai kepada pelanggan, pemegang saham dan semua pihak berkepentingan.








































