Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar membidas kenyataan berhubung isu penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menurutnya masih belum menemui penyelesaian meskipun telah lama dibangkitkan.
Beliau mendakwa Pakatan Harapan (PH) masih mengulangi skrip sama apabila menyatakan perkara itu akan “dibincangkan”, sedangkan janji berkaitan penghapusan PTPTN pernah menjadi antara perkara yang mendapat perhatian anak muda dan mahasiswa sebelum ini.
Menurut Dr Shatesh, kerajaan perlu menjelaskan kedudukan sebenar berhubung janji tersebut selepas beberapa tahun mentadbir Kerajaan Persekutuan.
“Jangan terus temberang, anak muda sudah muak dengan janji palsu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut mempersoalkan pendirian individu yang sebelum ini lantang memperjuangkan isu penghapusan PTPTN, termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, yang kini berada dalam kerajaan.
Menurutnya, anak muda berhak mendapatkan penjelasan mengenai hala tuju sebenar isu berkenaan dan tidak seharusnya terus menjadi sasaran janji politik setiap kali musim pilihan raya.
Beliau berkata, graduan hari ini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup, pasaran pekerjaan yang mencabar serta beban hutang pendidikan yang memberi kesan terhadap masa depan mereka.
Artikel lain: PUTERA MIC Bimbang Nasib Belia, Jumlah Penganggur Cecah 511,800 Orang
Katanya, kerajaan perlu mengemukakan dasar yang jelas dan tindakan nyata, bukannya sekadar menyatakan perkara itu masih dalam perbincangan.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pendekatan alternatif seperti pengurangan kadar bayaran balik, diskaun penyelesaian pinjaman, bantuan bersasar kepada peminjam golongan B40 atau mekanisme pembayaran lebih adil sekiranya penghapusan penuh PTPTN tidak dapat dilaksanakan.
Dr Shatesh mengingatkan anak muda supaya lebih berhati-hati terhadap janji politik yang tidak disusuli tindakan, sambil menegaskan kepercayaan rakyat hanya dapat dibina melalui keberanian menunaikan janji.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































