Jumlah korban maut akibat perlanggaran dua kereta api di Indonesia meningkat kepada tujuh orang, manakala 81 lagi cedera dalam kejadian yang berlaku di Bekasi, berhampiran ibu negara Jakarta lewat malam Isnin.
Menurut laporan Reuters, pihak berkuasa berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah tren komuter dan tren jarak jauh.

Foto: AFP
Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Mohammad Syafii berkata, usaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap masih diteruskan dengan penuh berhati-hati.
“Kami perlu melibatkan anggota yang mempunyai kemahiran tertentu untuk melakukan operasi menyelamat secara terukur,” katanya dalam sidang media awal pagi Selasa.
Beliau menambah, terdapat mangsa yang masih hidup ketika ini namun terperangkap di celah struktur gerabak yang remuk.
“Ada mangsa yang masih hidup dan kami berharap dapat mengeluarkan mereka, tetapi mereka masih tersepit,” ujarnya.

Foto: AFP
Pasukan penyelamat dilaporkan menggunakan mesin pemotong besi bagi menembusi struktur gerabak untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kereta api milik negara, PT Kereta Api Indonesia iaitu Bobby Rasyidin mengesahkan angka korban maut meningkat kepada tujuh orang.

Foto: AFP
Difahamkan, tren jarak jauh itu dipercayai melanggar sebuah teksi di lintasan sebidang, sekali gus menyebabkan tren komuter berhenti di atas landasan sebelum dirempuh.
Selain itu, syarikat pengendali teksi elektrik, Green SM Indonesia, memaklumkan menerusi Instagram bahawa kenderaan terlibat adalah milik mereka dan pihaknya telah menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Kes kemalangan itu kini disiasat oleh Komite Nasional Keselamatan Transportasi.
Sumber: Reuters






































