Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan tatatertib terhadap seorang anggotanya yang tular susulan dakwaan menghina penduduk China ketika melancong ke negara itu baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, anggota terbabit bagaimanapun masih menjalankan tugas seperti biasa sementara siasatan dijalankan.
“Saya meminta semua pihak bertenang dan PDRM akan menjalankan siasatan sebaik mungkin, bukan saja daripada sudut tatatertib, malah jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil.,”katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.
Kontroversi membabitkan pempengaruh yang juga anggota polis itu sebelum ini mendapat perhatian meluas termasuk liputan media luar negara selepas dia didakwa menjerit perkataan tidak sepatutnya sambil menutup hidung ketika berada di tempat awam di China.
Sehubungan itu, Mohd Khalid mengingatkan semua pegawai dan anggota polis agar sentiasa menjaga tatakelakuan sama ada ketika berada di dalam mahupun luar negara kerana mereka tetap tertakluk kepada peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) pasukan walaupun tidak memakai uniform.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula kajian kadar elaun perwira negara bagi membantu pesara menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, isu elaun penerima darjah kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) turut dibangkitkan Presiden RESPA, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak semula sejak 17 tahun lalu, iaitu kali terakhir pada tahun 2009.
Sumber: BERNAMA
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































