Bermula di sebuah gelanggang latihan sederhana di Hulu Selangor, minat seorang kanak-kanak terhadap seni bela diri kini membawanya melakar kejayaan di pentas dunia.
Ketika rakan seusia masih mengisi masa dengan permainan, Zahirul Haq Hamdani Kharil Johari sudah mula diasuh dengan disiplin, fokus dan ketahanan diri sejak berusia lima tahun.
Kini pada usia 12 tahun, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tangga, Bukit Beruntung itu dinobatkan sebagai juara 1st IFMA Muaythai School World Championships 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, selepas menewaskan pencabar dari beberapa negara.
Kejayaan tersebut sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa dan membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan, sekiranya disertai disiplin dan komitmen tinggi.
Berkongsi kepada Astro Awani, perjalanan Zahirul Haq dalam dunia seni bela diri bermula di Hypermax Taekwondo Club, di mana beliau membina asas teknik, kecergasan dan keyakinan diri sejak kecil.
Pada usia 10 tahun, beliau kemudian memberi tumpuan kepada Muay Thai selepas menyertai Kuala Lumpur Muaythai & Boxing Academy, namun masih mengekalkan latihan taekwondo secara berterusan.
Kedua-dua disiplin itu dijalani secara seimbang melalui pengurusan masa yang teratur, menjadikan setiap sesi latihan sebagai pelengkap kepada perkembangan dirinya sebagai atlet muda berprestasi tinggi.
Kesungguhan tersebut turut membuahkan hasil apabila Zahirul Haq dipilih mewakili Malaysia ke IFMA Youth World Championships 2026 di Greece pada November ini, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai antara atlet muda terbaik negara.
“Saya percaya seorang ‘fighter’ bukan hanya perlu hebat berlawan, tetapi juga pandai berkomunikasi.
Saya masih belajar untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran bercakap supaya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang,” katanya.
Selain Muay Thai, beliau turut aktif dalam sukan boxing, taekwondo dan kickboxing, menjadikannya antara atlet muda yang mempunyai pengalaman pelbagai disiplin seni bela diri.
Dengan pencapaian di peringkat dunia serta peluang mewakili negara ke Greece, Zahirul Haq kini dilihat sebagai antara prospek cerah dalam sukan tempur negara.
Daripada gelanggang kecil di Hulu Selangor, perjalanan beliau kini membawa satu misi besar iaitu mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.
Sumber: Astro Awani, FB 武吉丁雅华小 SJKC Bukit Tangga
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































