Bekas Ketua Bersekutu BERSATU Johor, Datuk Tan Lek Khang yang dilaporkan parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri petang tadi, kini sedang menjalani pembedahan di hospital.
Memetk laporan Harian Metro, bekas Setiausaha Bersekutu BERSATU Johor, Yeo Kwee Kwang berkata, Tan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail dan tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma kira-kira jam 5.30 petang sebelum dibawa ke bilik pembedahan.
“Beliau dikejarkan dengan ambulans ke sini (HSI) dan sebaik tiba terus dirawat di bahagian kecemasan dan kini sudah pun dibawa ke bilik pembedahan untuk menjalani pembedahan. Pembedahan sedang dijalankan,” katanya, malam ini.
Tan, 41, sebelum ini dilaporkan dipercayai tertembak diri sendiri ketika menjalani sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.
Ahli keluarga termasuk isterinya, Datin Tan Nie Nie serta rakan-rakan politik dilihat berada di hospital sejak jam 6 petang bagi menunggu perkembangan terkini.
Mengulas lanjut, Yeo berkata ketika kejadian, Tan bersama individu yang bukan dalam kalangan mereka menyebabkan maklumat penuh insiden masih belum diperoleh.
“Kami pun dapat maklumat daripada kawan rapatlah, kerana ketika insiden tidak ada orang kita bersama dengan beliau. Tetapi, ada seorang rakan kami beritahu dia ada berbual dengan beliau (Tan) dalam telefon antara jam 2 hingga 3 petang itu sebelum kejadian.
“Diberitahu bahawa mungkin masa beliau sedang latihan itu, ada peluru yang tertinggal dalam senjata api dan beliau tidak perasan lalu tertembak menyebabkan cedera di bahagian sini (menunjukkan kawasan dada dan bawah ketiak),” katanya.
Pada masa sama, beliau memohon semua pihak mendoakan agar pembedahan yang dijalani Tan berjalan lancar.
Sementara itu, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Artikel lain: Hilang Kepercayaan Kepimpinan Tertinggi, Lima Bahagian Bersatu Di Melaka Dibubar Serta-merta
Untuk rekod, pada 13 Februari lalu, Tan mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkuat kuasa serta-merta susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, beliau bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN).
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.








































