Connect with us

Inspirasi

Wajah Kian Tular, Jom Kenali Lee Bee, Jurubahasa Isyarat RTM Paling ‘Legend’

Jika kita membuka siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), pasti perasan di bahagian penjuru sudut kanan skrin, dapat kita lihat seorang wanita menterjemah berita menggunakan bahasa isyarat.

Sejak akhir-akhir ini, wajahnya kian tular di media sosial, disebabkan mimik muka disunting dengan pelbagai ‘meme’, malah ada yang menyamakan gerakan bahasa isyarat yang dilakukannya seakan-akan sedang ‘bertik tok’.

Jurubahasa isyarat tular

Kalau nak tahu, wanita itu bernama Tan Lee Bee, yang bertugas sebagai jurubahasa isyarat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 25 tahun yang lalu.

Justeru, setiap kali perucapan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Covid-19 muncul di kaca tv, Tan Lee Bee setia ‘menemani’ PM berucap setiap kali siaran langsung.

25 tahun jadi ‘suara’ OKU Pekak & Bisu

Walaupun hanya muncul di sudut kecil TV, tetapi kehadirannya sangat diperlukan terutama bagi golongan OKU pekak dan bisu, untuk mengetahui intipati berita yang disiarkan.

Tan Lee Bee, sebenarnya memulakan kerjaya dalam dunia penyiaran menerusi program Selamat Pagi Malaysia (SPM) pada 1986, ketika itu dia juga merupakan pengajar Sekolah Kanak-Kanak Pekak, Selangor sejak tahun 1980.

Lee Bee kemudian, mendapat tajaan biasiswa daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Orang Pekak di Universiti Tennessee, Amerika Syarikat selama setahun.

Perlu pantas berfikir terjemah berita

Selepas pulang ke Malaysia, Lee Bee kembali mengajar dan pada tahun 1995, dia kembali berkhidmat di RTM sehingga ke hari ini melalui program Nasional 8 sebagai jurubahasa isyarat sepenuh masa.

Jelas Lee Bee, Berbeza dengan pembaca berita yang hanya membaca teks berita, dia perlu memahami dan menterjemahkan ayat ke dalam bahasa yang mudah diterima oleh golongan OKU pekak.

Malah, Gerak tangan, mimik muka dan bahasa badan antara elemen penting yang dilakukan secara serentak dengan apa yang dibacakan berita. Oleh itu, dia perlu berfikir dengan pantas bagi memenuhi tahap Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Bukan hanya di meja berita, Lee Bee juga berkhidmat di mahkamah serta syarikat-syarikat korporat yang mempunyai pekerja OKU bagi tujuan penerangan, mesyuarat dan taklimat.

Minat mendalam kunci kejayaan

Lee Bee berkata, jika perlu menterjemah kes yang agak berat dalam pelbagai situasi, ada masanya dia perlu berlakon untuk menyampaikan maksud yang tepat.

Menginjak usia 58 tahun, semangat Lee Bee dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai ‘suara’ buat golongan pekak dan bisu sudah sebati dalam dirinya.

“Minat saya yang mendalam dalam bidang ini diterjemahkan melalui kualiti kerja dan itulah kunci kejayaan dalam apa juga lapangan yang kita ceburi selain fokus, komited dan berdisiplin…”

Semoga selepas ini negara kita dapat melahirkan lebih ramai pelapis untuk meneruskan legasi dalam bidang menterjemah berita menggunakan bahasa isyarat. Terima Kasih Lee Bee, semoga terus menjadi ‘suara’ buat insan-insan istimewa.

Sumber : Harian Metro

Continue Reading
Advertisement

Trending