Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Ramadan Sumber Kekuatan Doa Untuk Palestin Yang Sedang Menangis

Dunia Islam sedang menyambut kehadiran Ramadan, bulan suci yang dipenuhi dengan pelbagai kemuliaan. Persiapan menghadapi bulan yang mulia ini tentunya giat dilakukan oleh semua masyarakat Islam, sama ada di Timur atau di Barat. Walaupun begitu, situasi yang sedang di alami oleh saudara di Gaza dan Rafah amatlah berbeza. Implikasi genosid yang dilakukan oleh penjajah Israel masih lagi menghimpit penduduk Palestin sama ada di Tebing Barat, Gaza dan terkini di Rafah.

Ramadan sumber kekuatan doa

Peperangan kali ini bukan sahaja telah menjadikan bumi Gaza seperti padang jarak padang terkukur namun juga menjadikan mereka mangsa kebuluran terangcang yang ditaja oleh sekutu Israel seperti Amerika dan negara sekutunya yang lain. Perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip kemanusian yang telah disepakati oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Slogan SDGs atau Matlamat Pembangunan Mampan juga telah terkubur dalam konflik yang masih berpanjangan ini.

Istilah puasa yang merujuk kepada menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sinonim dengan menahan dari mengambil sebarang makanan atau minuman sama ada ia mengeyangkan atau tidak. Keadaan ini sudah pasti memberikan satu pengalaman merasai kelaparan secara sukarela kepada setiap individu yang berpuasa. Menahan kelaparan bagi seorang manusia itu adalah salah satu gambaran kehambaan yang cukup tinggi sehingga sanggup meningalkan keperluannya dan mengutamakan arahan Allah SWT.

Menurut Syeikh al-Syakrawi dalam kitab tafsirnya, puasa adalah medan terbaik untuk melatih diri agar boleh beristiqamah dalam beragama dan beribadah bukan sahaja ketika Ramadan sahaja malah ia akan berterusan setelah bulan Ramadan. Masa sebulan yang diambil bagi ibadah puasa ini adalah untuk melatih dan membentuk seseorang itu untuk menjadi lebih kuat pada keimanan dan ketakwaan. Oleh yang demikian, para rasul kesemuanya diuji dengan ujian-ujian kepayahan bagi menghasilkan kekuatan iman dalam menanggung beban dan amanah dakwah.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Selain itu juga, ibadah ini mampu menghadirkan ke dalam diri kita perasaan serta pengalaman yang dilalui sehari-harian oleh seseorang yang miskin yang sentiasa berlapar dan tidak cukup makan. Di waktu yang sama, mereka juga diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah di pagi hari raya Aidulfitri yang akan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin.

Jelas kepada kita bahawa Ramadan bukanlah semata-mata bulan untuk beribadah tetapi juga satu bulan untuk umat Islam merenung dan bermuhasabah mengenai lemah dan kerdilnya manusia di hadapan arahan Allah SWT serta semangat ukhuwwah sesama muslim dalam bantu membantu.

Konflik di Palestin telah masuk bulan yang kelima sejak ia bermula pada 7 Oktober yang lepas. Kematian yang berlaku di kalangan orang awam Palestin telah pun melebihi 25 ribu nyawa yang tidak berdosa terutama wanita, orang tua dan kanak-kanak. Gelombang dan gerakan rakyat di seluruh dunia termasuk Malaysia jelas menunjukkan solidariti mereka bersama Palestin cuma langkah sumbang pemimpin dunia terutamanya negara-negara yang bersekutu dengan penjajah rejim Israel yang telah menggagalkan banyak langkah keselamatan yang diambil oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keputusan Mahkamah Antarabangsa yang mengarahkan Israel untuk mengambil langkah yang berada di bawah kuasanya dalam mengelak pembunuhan orang awam juga dilihat satu berita positif dalam mengekang kezaliman Israel. Namun, arahan dan hukuman seperti ini tidak bermakna selagi mana kuasa besar seperti Amerika dan England masih menunjukkan ‘kesetiaan’ mereka bersama negara belaan mereka, Israel.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Situasi ini patut dijadikan iktibar kepada setiap penduduk dunia bagaimana tingginya sikap hipokrit dan prejudis kedua negara tersebut dalam melayani musibah yang menimpa umat Islam. Adakah selepas ini masih ada lagi umat Islam yang akan menyokong tindakan mereka?

Bulan Ramadan mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa penting dalam Islam yang membuktikan semangat pengorbanan dalam mengukuhkan agama Allah di bumi ini. Peperangan Badr al-Kubra yang berlaku dalam bulan Ramadan tahun kedua Hijrah menyaksikan umat Islam telah berjaya mengalahkan ketumbukan tentera Musyrikin Mekah sekali pun dibelenggu dengan kekurangan persediaan dan kelengkapan perang.

Peperangan Qadisiyah pada tahun kelima belas Hijrah pula membuktikan bahawa Muslimin dari bangsa Arab yang berbekalkan kecekalan iman dan semangat jihad mampu menewaskan Bangsa Parsi yang telah berkurun menjadi pemerintah dunia di waktu itu.

Pembukaan benua Andalusia oleh Tariq bin Ziyad juga berlaku dalam bulan Ramadan tahun kesembilan puluh dua Hijrah yang menjadi titik permulaan Islam di benua Eropah sehingga tujuh kurun selepasnya.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Selain itu, Perang ‘Ain Jalut pada tahun 685 Hijrah sentiasa segar berada dalam ingatan umat Islam sebagai satu kenangan manis bagaimana umat Islam di bawah pimpinan Saifuddin Qutz berjaya menafikan mitos bahawa golongan Tatar adalah tentera yang mustahil dikalahkan. Kejayaan Saifuddin Qutz menewaskan Tatar telah membuka lembaran sejarah yang baru bagi kaum itu untuk memeluk Islam dan membina empayar Tatar Muslim di India.

Kesemua peristiwa penting ini berlaku di bulan Ramadan di kala mereka sedang berpuasa. Puasa lansung tidak menjadi alasan untuk mereka mundur apatah lagi menyerah kalah apabila berhadapan dengan kemaraan dan gerombolan musuh yang membawa panji-panji kefasidan di alam ini. Gambaran ini juga berlaku pada hari ini, cuma yang membezakannya ialah negara-negara Islam ‘terikat tangan dan kaki’ mereka untuk bertindak lebih maju ke hadapan akibat undang-undang dalam bertindak agresif sekalipu saudara mereka sedang dibunuh secara terancang di bumi mulia, bumi Syam yang diberkati.

Jika diperhati secara teliti umat Islam di seluruh dunia tidaklah dikategorikan sebagai kelompok yang sangat lemah sama ada dari sudut ekonomi, populasi penduduk dan lainnya. Lihatlah sahaja keberanian pejuang Hamas dalam memperkotak katikkan tentera penjajah Israel yang sehingga hari ini terpelosok ke dalam kancah peperangan tanpa penghujung serta krisis politik dalam di negara mereka. Satu pertumbuhan yang dikekang dari segenap sudut mampu menggoncangkan negara manja ‘belaan’ kuasa besar Barat.

Bersempena dengan Ramadan yang baharu kita sambut ini, marilah kita bermuhasabah sama ada sebagai muslim atau tidak, adakah kita ingin melihat krisis kemanusiaan ini terus berlaku di Palestin? Adakah kita merasa bahagia makan dan berbuka puasa bersama keluarga dan rakan sedangkan mereka sedang berjuang untuk mendapatkan sesuap makanan? Adakah tenang hidup kita dengan mendengar penderitaan mereka yang berada di bumi penuh keberkatan itu?.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Justeru, marilah bersama-sama berpuasa dengan menghidupkan kembali semangat kekuatan umat Islam dahulu serta memperjitukan doa agar kemenangan dan bantuan Allah SWT diturunkan kepada saudara-saudara kita di bumi Palestin.

Avatar

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Dunia

Polis Thailand bakal mendakwa pemandu bas sekolah yang terbakar sehingga mengakibatkan kematian 23 murid dan guru di negara itu pada Selasa selepas suspek serah...

Nasional

Kementerian Pengangkutan (MOT) akur bagi melonggarkan salah satu syarat kelayakan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B...

Lokal

Negeri Johor tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti yang tular yang melibatkan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di...

Lokal

Istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan pilihan hatinya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung pada 24,...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd