Connect with us

Infozon

“Peminjam Boleh Mohon Fleksibiliti Mulai 7 Ogos, Tanpa CCRIS…” – BNM

Peminjam individu, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk perniagaan boleh memohon terus kepada bank masing-masing mulai 7 Ogos ini bagi mendapatkan fleksibiliti yang telah diumumkan hari ini.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ia telah berhubung dengan pihak perbankan agar mereka menyediakan proses permohonan dan dokumentasi yang dipermudahkan kepada peminjam.

Tambahnya, menyedari keadaan yang luar biasa ini, fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam dalam tempoh ini tidak akan mencatatkan sebarang rekod baharu dalam CCRIS peminjam.

Industri perbankan akan menyediakan lanjutan moratorium tersasar termasuk kemudahan fleksibiliti dalam pembayaran balik, yang menjurus kepada individu yang telah kehilangan pekerjaan pada 2020, mereka ini akan ditawarkan lanjutan moratorium pinjaman untuk tempoh tiga bulan lagi oleh bank mereka.

Individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas akibat COVID-19 akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman mengikut nisbah pengurangan gaji mereka, bergantung kepada jenis pembiayaan.

Pihak perbankan juga akan menawarkan fleksibiliti untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan akan mempertimbangkan bagi memperluaskan fleksibiliti pada akhir tempoh itu, dengan mengambil kira gaji peminjam pada ketika itu, katanya lagi.

Bagi pembiayaan sewa beli, peminjam yang terlibat akan ditawarkan jadual ansuran yang disemak semula selaras dengan Akta Sewa Beli 1967.

Di samping itu, pihak bank juga komited untuk menyediakan fleksibiliti pembayaran balik kepada individu lain dan semua peminjam PKS yang terjejas akibat COVID-19. Fleksibiliti yang ditawarkan oleh setiap bank akan mengambil kira keadaan tertentu peminjam.

Untuk peminjam yang memiliki pinjaman daripada pelbagai bank, mereka boleh memohon bantuan pusat sehenti yang berkaitan bagi mendapatkan pakej bantuan yang sesuai.

Bagi individu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan untuk PKS, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) BNM akan memantau perkembangan bank dalam membantu pelanggan yang sedang berhadapan dengan masalah kewangan sementara.

Malah, BNM juga akan terus menumpukan usaha dalam memastikan sistem perbankan terus menjalankan fungsi pengantaraan dengan berkesan dalam menyokong pemulihan ekonomi.

Sumber : Bernama 

Continue Reading
Advertisement

Trending