Seorang wanita merayu bantuan orang ramai menerusi platform Threads untuk mengesan bekas suaminya yang didakwa menumbuk mukanya ketika proses penyerahan anak di Bangi, petang semalam.
Menerusi hantaran yang tular itu, wanita berkenaan turut memuat naik video kejadian memohon sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubunginya.
Dia mendakwa insiden itu berlaku ketika dia mahu menyerahkan anak mereka mengikut giliran yang telah ditetapkan mahkamah.
“Minta tolong warga Threads kalau ada ternampak, terjumpa atau terlihat lelaki ini mohon DM saya.
“Dah tumbuk muka bekas isteri sebab kereta sendiri buat hal. Mohon kerjasama semua. Kalau dah dapat dia ni, posting ni akan diturunkan. Terima kasih,” dakwanya pada Ahad.
Wanita itu berkata, dia dan lelaki terbabit sudah bercerai sejak dua tahun lalu dan mempunyai anak berusia dua tahun.
Menurutnya, walaupun anak mereka bertemu bapa kandung setiap bulan, dia mendakwa kanak-kanak itu semakin takut untuk berjumpa lelaki berkenaan.
“Umur anak dua tahun. Baru je masuk dua. Tak tahu la saya pun pelik, anak jumpa je dia tiap bulan tapi makin lama makin takut,” tulisnya.
Menjawab pertanyaan warganet, wanita itu mendakwa kejadian berlaku di luar pagar sebuah balai polis.
Katanya, dia sempat meminta lelaki itu masuk ke dalam balai, namun lelaki berkenaan didakwa terus melarikan diri.
“Ni depan balai, tapi luar pagar la. Tu yang saya suruh dia masuk tu (masuk balai). Dia terus pergi,” ujarnya.
Dia turut menjelaskan bahawa hak penjagaan dan giliran pertemuan anak telah ditetapkan menerusi perintah mahkamah.
Wanita itu berkata, laporan polis dan pemeriksaan kesihatan sudah dibuat selepas kejadian. Menurutnya, polis sedang mengesan lelaki terbabit namun masih belum berjaya menemuinya.
“Dah dua tahun cerai. Cuma dah ada perintah mahkamah tu yang saya terpaksa bagi anak waktu giliran dia. Dah buat pemeriksaan kesihatan dan polis tengah cari dia dari malam tadi tapi tak jumpa-jumpa.
“Tu yang saya post sini kalau-kalau ada orang ternampak dia, bagitahu saya,” kongsi wanita itu.
Dia juga menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya dia melakukan provokasi sehingga tercetus pergaduhan. Sebaliknya, dia menegaskan tujuan kehadirannya hanyalah untuk menyerahkan anak seperti yang ditetapkan.
“Saya takde buat provokasi pun, saya cuma nak serah anak je. Kalau tak buat apa-apa pun kena tumbuk, nak kena diam je ke?
“Tujuan saya cuma nak minta jasa orang kalau-kalau ternampak dia, bagitahu saya,” katanya lagi.
Selain itu, dia turut menjawab dakwaan berhubung kerosakan kereta yang dikatakan menjadi punca kemarahan bekas suaminya.
Menurut wanita itu, isu berkenaan sudah diselesaikan bulan lalu dan tiada sebarang kerosakan pada kenderaan tersebut.
“Langgar kereta tu dah selesai bulan lepas lagi. Dah selesai kat balai polis pun. Takde kerosakan.
“Minggu lepas dia bawa je kereta dia jumpa anak, okay je kereta dia tu, takde rosak pun. Tiba semalam datang kata kereta rosak salah saya,” ujarnya.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung dakwaan yang tular di media sosial itu. Semua dakwaan di atas adalah berdasarkan perkongsian wanita berkenaan.
Sumber: Threads @amma.yum







































